Pelakon dan pelawak popular, Datuk Afdlin Shauki mengaku sudah menamatkan zaman duda dengan wanita pilihannya tahun ini.
Memetik Harian Metro, Afdlin berkata wanita tersebut berasal dari Johor dan kini bekerja dengannya, namun enggan mendedahkan nama isterinya itu.
BACA: Afdlin Shauki ‘Sorok’ Kekasih, Hormat Bekas Isteri
“Alhamdulillah, saya sudah menamatkan zaman duda dan tahun ini beraya bersama keluarga baru dan keluarga lama,” katanya.
Dalam pada itu, Afdlin berkata dia enggan memperbesarkan perkara tersebut dan sebelum ini juga dia jarang berkongsikan mengenai hal peribadi.
“Apa yang boleh saya kongsi, saya sudah menamatkan zaman duda. Hubungan isteri dan bekas isteri serta anak-anak juga baik. Isteri saya pernah bekerja dengan saya dan masih bekerja dengan saya.
“Itu saja yang dapat saya kongsi kerana enggan memperbesarkan perkara ini. Cukuplah saya kongsikan berita gembira ini.
“Jika diikutkan, saya sendiri jarang berkongsi mengenai bekas isteri sebelum ini. Jadi biarlah privasi itu disimpan buat saya saja,” katanya.
Terdahulu, rumah tangga Afdlin dengan bekas isterinya Maria Christina Orow Abdullah dibina selama 25 tahun terlerai pada April tahun lalu. Pasangan itu dikurniakan tiga anak iaitu Mia Sara, Anais dan Ileana Matin.