fbpx

Aeril Zafrel Tak Mahu Berjauhan Dengan Wawa Zainal

Bakal menimang anak ketiga tidak lama lagi, Aeril Zafrel enggan berjauhan dengan isteri yang sedang sarat dan mahu berada disisi Wawa Zainal saat menyambut cahaya mata mereka.

Malah, Aeril berkata dia kini mengurangkan aktiviti penggambaran dan jarang ke gimnasium memandangkan isterinya sedang menunggu masa untuk bersalin. Sebelum ini, Wawa mengalami kontraksi sehingga terpaksa dikejarkan ke klinik.

BACA: Alami Kontraksi, Wawa Zainal Menunggu Hari Detik Bersalin

“Saya bimbang andai sibuk di lokasi penggambaran atau berada di gimnasium, Wawa bersalin. Kalau boleh biarlah Saya ada di sisi Wawa saat melahirkan anak kami nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Meskipun sudah dikurniakan dua cahaya mata, Aeril berkata dia dan Wawa tetap teruja menantikan kelahiran itu. Ujarnya lagi, dia tidak kisah membantu menguruskan Wawa dan menjaga bayi mereka nanti kerana sangat rindukan saat tersebut.

“Hayla sudah besar, sudah masuk empat tahun. Seronok bila akan ada bayi di rumah kami nanti. Perasaan teruja kali ini sama seperti mahu menyambut kelahiran anak sulung. Saya tahu bila ada anak kecil kita akan keletihan tetapi saya rindukan detik itu.

“Saya rindu bau bayi mahu memeluk dan menciumnya. Kali ini kami buat persiapan awal, tinggal lagi tunggu hari Wawa bersalin,” katanya.