fbpx

Aeril & Wawa Zainal Kerja Keras, Perniagaan Akan Diwarisi Anak-Anak

Pelakon Aeril Zafrel berkata dia dan isterinya, Wawa Zainal bekerja keras untuk mengusahakan perniagaan mereka untuk diwarisi oleh anak-anak mereka kelak.

Memetik Utusan Online, Aeril berkata perancangan yang dibuat mereka itu adalah untuk memastikan masa depan anak-anak terjamin.

BACA: Masuk Stadium Luar Negara, Aeril Zafrel Dituduh Menunjuk 

“Kami selalu memberitahu anak kedua, Hayla, dia bakal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) suatu hari nanti. Memang apa yang kami usahakan sekarang ini demi untuk masa depan mereka.

“Kami sedang berusaha mencari dan memasang strategi untuk kekalkan perniagaan dalam jangka masa panjang. Seperkara yang saya belajar, untuk naik senang, tetapi untuk kekalkan itu yang susah,” katanya.

Sementara itu, Aeril melihat anak keduanya iaitu Hayla mewarisi bakat lakonannya serta isteri. Ujarnya, bukan mudah kanak-kanak seusianya boleh beraksi di hadapan kamera.

“Kami galakkan Hayla masuk industri hiburan kerana dia ada bakat. Bukan senang untuk kanak-kanak pada usia sepertinya mengingati skrip, melakonkan watak sedih dan tidak malu bila berada di hadapan kamera.

“Saya sudah 16 tahun dalam industri. Sebagai anak seni, saya dapat membezakan pelakon yang dikurniakan anugerah istimewa atau dipaksa-paksa beraksi di depan kamera,” katanya.

Bagaimanapun, Aeril berkata dia dan isteri tetap mengutamakan didikan agama terhadap anak-anaknya tidak kira apa sahaja minat mereka.

“Saya dan Wawa tengok Hayla paling berbakat, selain anak ketiga kami, Soffya. Mereka kelihatan ‘natural’ di depan kamera. Tetapi, kami tanya juga minat dan apa yang ingin mereka buat.

“Tidak kisah apa minat mereka kerana paling penting, kami tekankan didikan asas, termasuk aspek agama. Itu yang paling utama,” katanya.

Aeril dan Wawa mendirikan rumah tangga pada 2013. Pasangan itu dikurniakan Ahmad Fakhruddin Attar, 8, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 6, Ayya Soffya, 2, dan Muhammad Fahri yang kini berusia setahun.