Takziah buat keluarga Datuk Afdlin Shauki di atas pemergian adik kesayangan beliau, Jefri Adzman yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta, kira-kira jam 5.14 petang tadi. Berita sedih itu dikongsikan Afdlin melalui laman Instagram miliknya sebentar tadi.

BACA: Ibu Afdlin Shauki Meninggal Dunia


“Adik lelaki saya, Jefri Adzman Bin Aksan telah pulang ke rahmatullah pada hari ini, pukul 5.14 petang di Hospital Thomson Kota Damansara. Moga rohnya ditempatkan di kalangan roh-roh orang yang beriman.

“Sekarang adik dah boleh jaga mak, insya-Allah di jannah. Tak aci ‘korang’ dah bersama. “Kejap sangat Allah pinjamkan kau dekat kami Jep. Yeop sayang kau Jep,” – itulah antara ayat yang menyayat hati dan membuatkan pengikutnya turut merasai kesedihan pelakon tersebut.

Semalam, Afdlin memohon bantuan orang ramai untuk mengesan kereta yang dipercayai melanggar Jefri pada petang Ahad lalu berhampiran stesen minyak Petronas Kota Damansara.

Afdlin juga turut meminta sesiapa yang mempunyai rakaman video atau saksi kejadian untuk menghubunginya dengan segera.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Jefri berada dalam keadaan kritikal dan sudah menjalani pembedahan selama empat jam bagi membuang darah beku di otak.