fbpx

Adibah Noor Tolak Masuk TV, Rupanya 19 Jun Tarikh Pengebumian

Sabtu lalu, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian penyanyi Allahyarham Adibah Noor yang meninggal dunia akibat kanser ovari tahap empat.

Memetik Harian Metro, komposer dan penulis lirik, Chevy Amry berkongskan mesej terakhir arwah selepas bertanya kelapangan pada 19 Jun untuk terbabit dalam rakaman program Muzik Muzik 37.

BACA: Kematian Adibah Noor Buat Ustaz Kazim Rasa Malu

Menurutnya, jemputan itu diterima bagi mempromosikan lagu Kecurigaan yang sempat dirakamkan Adibah dan diterbitkan pada 24 Januari lalu.

Chevy yang juga merupakan komposer lagu tersebut berkata, siapa sangka bahawa tarikh 19 Jun itu adalah hari pengebumian Adibah.

“Sebenarnya sudah beberapa kali kami dapat jemputan program seperti Muzik Muzik 37 dan Borak Kopitiam untuk promosi lagu, tapi dia cakap tidak bersedia untuk masuk TV. Di situ, kami syak dia sakit.

“Dia teruja ketika kami mahu melancarkan lagu ini kerana ia berpotensi besar tapi kebelakangan ini banyak jemputan dia tolak. Bila lihat gambar terbaharunya, nampak dia semakin cengkung, rupanya dia tidak sihat,” katanya.

Kata Chevy lagi, 13 November tahun lalu itu adalah kali terakhir dia bertemu dengan Allahyarham ketika melakukan proses rakaman.

“Syukur saya mempunyai kesempatan mengenali Kak Dib biarpun dalam masa yang singkat. Dia seorang yang merendah diri, dia tidak pernah menganggap dirinya sebagai diva. Antara kami juga tiada jurang, dia borak dengan saya seperti adik dan kakak. Kali pertama jumpa pun dia ramah seperti sudah lama kenal.

“Dia juga tidak ‘demand’ dan menyifatkan dirinya sebagai manusia biasa. Dia tidak pernah meletakkan dirinya sebagai artis popular atau sebagainya,” katanya.