fbpx

“Ada Yang Mengharapkan Kami Kembali Bersama…”

Meskipun sudah berbaik demi anak, bagaimanapun Noor Nabila tiada perancangan untuk kembali bersama bekas suaminya Sharnaaz Ahmad biarpun ramai pihak mendoakan agar mereka kembali bersama.

Menurut Nabila, dia akui lebih selesa dengan statusnya sebagai ibu tunggal dan mahu memberikan fokus kepada diri sendiri. Ujarnya lagi dia dan Sharnaaz sudah pun ‘move on’.

BACA: Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila Sah Bercerai

“Ada yang mengharapkan kami kembali bersama selepas melihat hubungan saya dan Sharnaaz baik. Sebenarnya, antara kami memang sudah lama baik demi anak.

“Kalau ada jodoh, Insya-Allah. Tapi, rasanya saya lebih selesa untuk meneruskan hidup sendiri. Saya serta Sharnaaz pun sudah ‘move on’ dan fokus kami sekarang ialah anak, Jebat Jayden,” katanya kepada Harian Metro.

Nabila berkata dia bersyukur kerana Sharnaaz tetap memberikan komitmen yang sangat baik sebagai seorang bapa. Malah, setiap hari meluang masa untuk berjumpa dengan anak mereka.

“Saya gembira dan bersyukur kerana Sharnaaz tak pernah abaikan tanggungjawab sebagai bapa. Boleh dikatakan hampir setiap hari dia meluangkan masa berjumpa dengan anak.

“Saya sendiri tak kisah kerana anak kami memang berhak mendapat kasih sayang ibu dan bapa secara sama rata,” katanya.

Hampir setahun kemelut rumah tangga diperkatakan, Nabila dan Sharnaaz sah bercerai pada 9 Julai lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.