Semalam, pelawak dan penyampai radio, Danial Zaini tampil sebagai pengacara. konsert Gegar Vaganza semalam bagi menggantikan hos Nabil Ahmad.

Bagaimanapun, ada komen tak sedap didengar apabila ada yang kecewa dengan cara Danial mengacarakan GV9 serta mendakwa pelawak berkenaan merosakkan program popular itu.


BACA: Terlalu ‘Hyper’, Netizen Terhibur Tengok Nabil Kalut Handle Kak Lina Di GV

Memetik Harian Metro, Danial memohon maaf kepada semua peminat dan penonton GV9. Menurutnya, dia diminta untuk menggantikan tempat Nabil empat jam sebelum siaran langsung.

“Saya jadi bidan terjun dan diberitahu empat jam sebelum konsert. Saya dapat panggilan daripada produksi GV9 dalam jam 3 atau 4 petang. Mereka kata ‘urgent’ kena ganti Nabil.

“Memang ada usaha mencari pengacara lain, tapi mereka tak dapat mengacarakan GV. Jadi, saya ambil tanggungjawab itu. Kalau tolak, saya tetap kena datang buat GV Live +.


“Saya tak ada ‘rehearsal’ apa-apa di pentas, cari baju pun pada saat akhir. Saya dapat skrip dalam dua jam sebelum naik pentas. Saya terus jumpa Kak Lina untuk baca skrip,” katanya.

Dalam pada itu, Danial berkata pasti ramai yang akan membandingkan dirinya dengan Nabil yang sudah lama mengacarakan program tersebut serta reda dengan kecaman diterima.

“Saya masih baru dalam bidang pengacara. Saya faham dan hadap benda ini sebagai anak seni. Namun, saya tetap bangga dapat peluang menjadi pengacara GV. Saya minta maaf kepada peminat GV. Ada yang kata saya rosakkan program dan anggap saya pengacara paling teruk, tapi saya reda dan terima.

“Ini pengajaran untuk saya tetapi saya tetap akan terus belajar. Saya hanya melakukan kerja untuk mencari nafkah,” katanya.