fbpx

Ada Wanita Kecil Hati Misha Omar Kongsi Tentang Rawatan IVF

Penyanyi Misha Omar berkata ada segelintir wanita yang berhasrat menjadi ibu berkecil hati dengan perkongsiannya yang kini menjalani rawatan kesuburan IVF.

Memetik laporan Kosmo!, Misha memohon maaf jika perkongsiannya itu menguris hati mana-mana pihak. Misha juga berharap orang ramai mendoakan agar hasratnya untuk hamil sekali lagi dipermudahkan.

BACA: Misha Omar Henti Rawatan Kesuburan, Bimbang Tak Boleh Nyanyi Ketika Hamil

“Rawatan kesuburan memang saya dah teruskan dan sekiranya ada berita baik (sudah hamil), saya akan kongsikan kepada umum. Dulu saya kongsi secara terang-terangan, ada juga wanita yang sedang ‘struggle’ (berdepan kesusahan) untuk dapatkan anak terasa hati.

“Saya faham, apabila bercakap tentang usaha pencarian zuriat, semua orang mudah berasa sensitif. Tapi saya nak ingatkan, perkongsian saya sebelum ini hanya untuk mewujudkan kesedaran.

“Mungkin apa yang saya kongsikan sebelum ini melukakan hati mana-mana wanita yang sedang berusaha keras untuk mendapatkan anak. Saya minta maaf, cuma saya nak ingatkan, artis atau bukan, kita semua berkongsi kesusahan sama,” katanya.

Dalam pada itu, Misha juga tidak mahu berlebih-lebihan bercerita mengenai perkara itu serta menjadikan proses kehamilan Neelofa dan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai inspirasi buat dirinya.

“Saya juga nak cakap yang kalian tidak keseorangan. Saya puji pendekatan Neelofa. Dia diam sahaja tapi ‘know know’ Bilal keluar.

“Tengok juga betapa berjayanya Datuk Seri Siti Nurhaliza. Betapa sabarnya beliau melalui setiap kegagalan menunggu 11 tahun sehinggalah lahirnya Aafiyah,” katanya.

Kata Misha lagi, anak adalah rezeki daripada Allah tidak kira sama ada mereka lahir dari rahim sendiri atau anak angkat.

“Anak sendiri ke atau anak angkat, tetap rezeki daripada Allah SWT. Jadi, saya harap, semua wanita terutama yang sedang usaha untuk hamil, jangan pandang benda yang boleh merosakkan mood kalian,” katanya.

Oktober tahun lalu, Misha memaklumkan telah menjalani rawatan kesuburan di sebuah pusat perubatan untuk menimang cahaya mata kedua.

Misha mendirikan rumah tangga dengan juruterbang Firros Ezzwan Rosly pada 2 Mei 2014 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Idris Ezzwa kini berusia enam tahun. Misha turut mempunyai seorang anak angkat, Muhammad Adam Emir yang kini berusia 16 tahun.