fbpx

Ada Premis Makanan Tapi Tiada BeSS? Bertindak Sebelum Terlambat!

Setiap kali kita bercakap tentang makanan, pastinya kebersihan merupakan perkara pertama yang dititikberatkan. Mana tidaknya, jika makanan tidak bersih pastinya ia akan mendatangkan mudarat bukan saja kepada pelanggan tetapi kepada prestasi perniagaan anda.

Peka dengan perkara tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan kempen Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) demi meningkatkan kualiti penyediaan dan penjualan makanan yang selamat dan sihat.

Matlamat Pengiktirafan

Memang banyak faedah jika anda sudah mendapat pengiktirafan BeSS. Sedar atau tidak, ia mampu membimbing dan menggalakkan pengusaha menyediakan persekitaran premis makanan yang bersih. Melalui kesedaran ini ia akan menghasilkan pengendalian dan penyediaan makanan yang selamat kepada pelanggan.

Bukan Berniaga Semata Tapi Mendidik

Ini perkara yang kami paling suka mengenai pengiktirafan BeSS. Sebabnya mereka turut memberikan fokus kepada aspek kesihatan. Buktinya, BeSS ini mendidik pengusaha dan pengguna kepentingan pengambilan kalori yang sesuai dalam menu seharian.

Sementara itu, pengusaha akan dibimbing dalam menyediakan maklumat kalori bagi makanan yang dihidangkan dan berikut merupakan maklumat kalori yang dikongsikan:

+ Dipaparkan dalam bentuk pada menu pada premis makanan
+ Menjadi panduan kepada pengguna ketika memilih makanan yang lebih sihat.
+ Mesej-mesej makan secara sihat juga diterapkan di premis BeSS ini bagi mewujudkan persekitaran makan yang bukan sahaja bersih malahan menggalakkan pengambilan makanan secara sihat.

Jika anda perasan, pelekat (sticker) BeSS paling mudah untuk dilihat di RnR namun sebenarnya jika anda adalah pengusaha makanan yang tertera di bawah ini, anda layak untuk mendapatkan pengiktirafan ini:

+ Restoran
+ Gerai makan
+ Kafeteria
+ Kantin
+ Kenderaan makanan seperti foodtruck

Memang mudah bila sudah ada BeSS ini. Ini kerana ia akan menambahkan keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan. Lebih menarik lagi, bimbingan dan khidmat nasihat juga diberikan secara percuma kepada pengusaha demi melonjakkan prestasi ke tahap yang terbaik.

Sementara itu, Puan Noraini Binti Dato’ Mohd Othman iaitu Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan turut menyeru pengusaha untuk tidak ketinggalan dalam mendapatkan pengiktirafan ini.

“Pengusaha bijak yang mengamalkan kebersihan dan keselamatan makanan digalakkan memohon pengiktirafan BeSS bagi mewujudkan persekitaran makanan yang berkualiti,” katanya.

Sebab itulah kita perlukan pengiktirafan sebegini. Jangan terlambat kerana perkara ini sangat membantu anda mendapat kepercayaan pengguna demi masa depan perniagaan yang cemerlang. Ada BeSS baru Best!

Jika anda adalah pengusaha makanan yang berminat untuk mengubah masa depan yang lebih cemerlang dan meluaskan lagi perniagaan anda, dapatkan pengiktirafan BeSS dengan segera.

Anda boleh ikuti Faebook mereka, @BKKMHQ (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia) atau boleh terus ke Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran atau layari terus laman web fsq.moh.gov.my. Senang saja, bukan? Jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut lagi kelebihan BeSS, jom layan video pendek ini.