fbpx

Ada Masalah Kewangan? Jangan Rasa Down, URUS Kan Sahaja!

Bila dah kena terima hakikat untuk terus ‘hidup’ dengan COVID-19 ini, terpaksa terima kenyataan untuk terus hidup bersama dengan virus pembunuh ini.

Kami akui ramai yang terjejas akibat daripada pandemik ini. Banyak betul perkara yang terbantut. Ada yang hilang kerja, ada yang baru mula nak survive untuk mula balik mencari kerja dan berbisnes. Hutang pun ada yang tak terbayar.

Namun begitu, anda jangan susah hati. Bantuan sentiasa ada untuk anda yang terkesan dengan pandemik COVID-19 ini.

Sangat Membantu!

Salah satunya adalah pakej Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS). Untuk info anda URUS adalah pakej bantuan holistik untuk membantu anda yang terjejas kerana masalah aliran tunai yang berpanjangan akibat COVID-19 ini.

URUS juga menawarkan bantuan bayaran balik dan sokongan pembangunan ketahanan kewangan, merangkumi pelan kewangan peribadi, program pendidikan kewangan serta peluang untuk menambah pendapatan dan mendapatkan sokongan lain melalui rujukan kepada Jaringan Sinergi Sosial yang diuruskan oleh AKPK.

Golongan yang layak mendapatkan bantuan holistik ini di bawah URUS adalah peminjam dalam kumpulan B50 dan memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Pendapatan isi rumah sehingga RM5,880
2. Kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50%
3. Pinjaman/pembiayaan telah pun berada di bawah program bantuan bayaran balik sedia ada (seperti Bantuan Bayaran Balik Bersasar, PEMERKASA Plus, PEMULIH, penjadualan dan penstrukturan semula oleh bank dsb) pada 30 September 2021 dan
4. Pinjaman/pembiayaan tanpa tunggakan melebihi 90 hari pada tarikh permohonan URUS

Bantuan Tidak Terhenti

Anda jangan risau, pihak bank sentiasa terus menerus memberikan bantuan untuk anda. Tak pernah berhenti! Meh kita usha sat pinjaman/pembiayaan mana jer yang layak di bawah URUS ni?

1. Pinjaman/pembiayaan perumahan
2. Pinjaman/pembiayaan peribadi (termasuk pinjaman/pembiayaan ASB, pinjaman/pembiayaan pendidikan dsb)
3. Pinjaman/pembiayaan kenderaan
4. Sewa beli
5. Baki kad kredit/kemudahan kredit pusingan (cth. overdraf/kemudahan kredit dan kredit perdagangan) yang telah ditukar kepada pinjaman/pembiayaan bertempoh

Apa Bantuan Yang Anda Dapat?

Mungkin ada dari anda yang tertanya-tanya apakah bantuan yang anda boleh dapat di bawah URUS?

Anda akan menerima pelan kewangan peribadi yang menetapkan jumlah ansuran bulanan and jadual bayaran balik pinjaman untuk tempoh sehingga 24 bulan.

Ia meliputi:
1. Pengecualian faedah/keuntungan untuk tempoh 3 bulan
2. Penangguhan bayaran serta pilihan lain termasuk pengurangan ansuran untuk membantu mengurus hutang keseluruhan selaras dengan kemampuan anda dan
3. Sokongan pembangunan, pendidikan dan khidmat nasihat untuk membantu anda mengurus kewangan agar lebih berdaya tahan

Pelan ini juga akan mengambil kira semua tanggungan hutang sedia ada dan jumlah pendapatan yang anda mampu peruntukkan untuk membayar hutang setelah mengambil kira perbelanjaan sara hidup. Haaa, amacam gais, faham tak?

Fuh, amacam? Bila dah baca ni rasa ringan sikit beban yang ada di bahu ni ha. Betul-betul membantu.

Kalau kurang faham, anda boleh terus tanya kepada bank anda. Semua persoalan nanti akan terjawab gais. Hehe.

Boleh Mohon Sekarang!

Permohonan untuk menyertai URUS dibuka mulai 15 November 2021 sehingga 31 Januari 2022.

Jika anda mempunyai pinjaman/pembiayaan dengan satu bank sahaja di mana terdapat pinjaman yang berada di bawah program bantuan bayaran balik, anda perlu memohon terus kepada bank anda dengan mengisi borang permohonan URUS.

Tetapi, jika anda mempunyai pinjaman/pembiayaan dengan lebih daripada satu bank, anda perlu memohon dengan mengisi borang permohonan URUS melalui salah satu bank yang mana anda mempunyai pinjaman/pembiayaan berbayar dan yang berada di bawah program bantuan bayaran balik.

Perlu Ada Ini Semasa Permohonan

Oh ya, sebaiknya, anda perlu menyenaraikan semua pinjaman/pembiayaan anda semasa permohonan.
Ini akan membolehkan AKPK menggabungkan perincian pinjaman/pembiayaan anda antara bank dan membentuk pelan bantuan bayaran balik yang holistik dan wajar berdasarkan kemampuan anda.

Bagi membantu AKPK menghasilkan pelan yang menyeluruh, anda hanya perlu mengemukakan dokumen mudah yang menunjukkan pendapatan semasa atau status pekerjaan anda, contohnya penyata bank, borang cukai pendapatan, penyata KWSP, slip gaji/baucar bayaran, ataupun surat pemberhentian kerja.

Dokumen ini mestilah dokumen terkini yang menunjukkan pendapatan semasa atau status pekerjaan anda. Jika tiada, rujuk bank anda untuk mengetahui dokumen lain yang boleh diterima sebagai bukti kelayakan anda.

Jangan Risau Kalau Tak Layak URUS

Anda masih boleh mendapatkan bantuan daripada bank anda untuk membincangkan pilihan bayaran balik yang sesuai dengan keperluan dan keadaan kewangan anda atau hubungi AKPK untuk khidmat nasihat dan bantuan di bawah pelbagai program AKPK yang sedia ada untuk isi rumah dan PKS, seperti:

1. Program Pengurusan Kredit (PPK)
2. Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK)
3. Skim Sokongan Ketahanan Kewangan (FIRST)

Diharap artikel ini dapat membantu anda. Sekiranya masih tidak jelas, anda boleh rujuk terus pihak bank anda ya. Malu bertanya sesat jalan!

Sebarang masalah atau info lanjut anda boleh terus ke link yang kami senaraikan ini

1. AKPK: www.akpk.org.my/URUS
2. ABM: www.abm.org.my
3. AIBIM: www.aibim.com

Kalau menghadapi masalah dengan bank anda, jangan lupa hubungi BNM di sini.

Moga dipermudahkan urusan anda semua okay.