fbpx

Ada Lesen Sejak Umur 18 Tahun, Elizabeth Tan Tak Pernah Memandu

Meskipun mempunyai lesen memandu sejak berusia 18 tahun, pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan tidak pernah memandu kerana fobia terhadap jalan raya.

Elizabeth atau mesra disapa Lizzy berkata dia merasa tidak tenang dan terlalu takut memandu sendiri untuk kemana-mana.

BACA: Elizabeth Tan Jadi Tempat Berkumpul Lelaki Melayu Miang

“Saya takut untuk memandu kereta sendiri. Jadi, selama ini jika mahu ke mana-mana pun saya akan dijemput pengurus, suami atau menggunakan khidmat e-hailing saja.

“Saya pasti tak boleh tenang jika memandu sendiri kerana perasaan terlalu takut itu. Jadi, daripada akan membahayakan diri sendiri dan orang lain, lebih baik saya tak ambil risiko,” katanya.

Kata Lizzy lagi, dia mengakui takut kerana pernah terbabit dalam kemalangan apabila pernah melanggar sebuah teksi. Namun, dia akan beranikan diri untuk memandu sendiri kelak lebih-lebih lagi apabila sudah mempunyai anak.

“Namun, saya yakin akan beranikan diri untuk memandu juga suatu hari nanti apabila sudah memiliki anak. Ini kerana kebanyakan ibu zaman sekarang memang boleh memandu untuk menguruskan anak mereka.

“Jadi, hendak atau tidak saya tetap kena kuatkan diri untuk memandu sendiri bagi menguruskan anak-anak nanti. Sudah tentu saya juga perlu hantar mereka (anak) ke sekolah dan ketika itu memang kena memandu,” katanya.

Dalam pada itu, Lizzy berkata dia dalam proses diet untuk persiapan majlis resepsi perkahwinannya dan suami yang akan berlangsung pada Februari depan.

Terdahulu, Lizzy berkahwin dengan lelaki pilihannya, Siew Jim pada 20 Mac tahun lalu dalam majlis sederhana yang dihadiri 10 orang ahli keluarga kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.