Kini bergelar penyanyi, pelawak Achey menyimpan hasrat untuk beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu. Meskipun ada yang beranggapan impiannya itu seperti angan-angan ‘mat jenin, namun dia tetap optimis.

Ujarnya, sebelum ini single pertamanya, Yang Terindah pernah masuk pencalonan Muzik-Muzik, namun gagal ke peringkat seterusnya.

BACA: Achey Buat Kejutan Untuk Isteri, Beri Nafkah Dalam Jambangan Bunga

“Saya beranggapan mungkin saya bukan penyanyi profesional. Bagaimanapun, apabila diterima dalam media sosial dan YouTube ia sudah cukup baik.

“Single kedua, Sakit pernah mendapat tontonan satu juta dalam YouTube dalam tempoh sehari. Hingga hari ini, sudah hampir 35 juta tontonan. Syarikat rakaman agak terkejut sebab sambutan kekal selama seminggu.

“Harapan untuk single terbaharu, Sembuh tidak banyak, cuma harap mendapat sambutan baik dan tontonan tinggi. Jika dapat membolosi pentas AJL dikira bonus besar,” katanya.

Meskipun bermula sebagai pelawak, Achey meluahkan rasa syukur apabila dia terima baik sebagai penyanyi dan mengakui sukakan bidang nyanyian. Namun, Achey mengakui ada yang tetap melihatnya sebagai seorang pelawak.

“Namun, untuk menjadi penyanyi profesional, saya berasakan masih belum layak. Mungkin dari sudut pandangan orang, saya tetap pelawak. Jika diterima, saya memang bersyukur. Macam Allahyarham Tan Sri P Ramlee, beliau juga pelawak dalam setiap filem lakonan dan penyanyi profesional.

“Jadi, tidak salah jika saya mengambil inisiatif sama. Walaupun pelawak, mungkin boleh menjadi penyanyi profesional. Tetapi, saya mungkin kena belajar banyak perkara terutama teknik nyanyian,” katanya.