Menerusi satu perkongsian di Instagram, Shuib memaklumkan abang Allahyarham Siti Sarah iaitu Ahmad Firdous dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ditidurkan sejak jam 5 pagi tadi.

Shuib memohon orang ramai mendoakan buat abang iparnya itu Firdous yang dimasukkan ke Hospital Serdang selepas positif COVID-19 pada 2 Ogos lalu.

BACA: Abang Siti Sarah Positif Covid-19, Tahap Oksigen Menurun

“Assamualaikum semua… Allah Maha Besar, Allah Maha Kuasa. Baru dapat panggilan bahawa abang ipar saya dimasukkan ke ICU. Saya mohon mendoakan Ahmad Firdous Raissuddin diberi kesembuhan segera… Amin Ya Rabbal Alamin,” tulisnya.

Menurut Shuib, Firdaus ditidurkan bagi membolehkan paru-parunya berehat. Ujarnya, ketika dikejarkan ke hospital paras oksigennya menurun 85 peratus.

“Doktor hendak rehatkan paru-parunya… Sebelum ditidurkan, paras oksigen adalah 95 peratus. Ketika dikejarkan ke hospital, Selasa lalu, paras oksigennya adalah kira-kira 85 peratus. Ahmad Firdous disahkan positif COVID-19 pada 2 Ogos lalu,” katanya.

Selain Firdous, isterinya turut disahkan positif selepas empat hari keluarga Siti Sarah dijangkiti virus berkenaan. Sebelum ini, Firdous dan isteri sudah menjalani kuarantin kendiri selama lapan hari di rumah.