fbpx

Penerbit Datuk A Aida menyarankan kepada kerajaan agar mempraktikkan semula amalan menyenaraihitamkan selebriti bermasalah dan memalukan industri seni.

Memetik Harian Metro, Aida berkata dia percaya bahawa langkah tersebut membuatkan selebriti yang bermasalah itu berfikir panjang sebelum melakukan perkara yang memakan diri kerana golongan itu sepatutnya menjadi contoh.

BACA: A Aida Blacklist Ruhainies, Tak Mahu Lagi Ambil Berlakon

“Saya minta syarikat produksi untuk menyenarai hitam artis yang bermasalah seperti ditangkap khalwat atau terbabit dengan penyalahgunaan dadah. Golongan artis ini seharusnya menjadi contoh terbaik kepada masyarakat kerana mereka dipandang tinggi dan menjadi idola buat peminat.

“Jadi takkan artis yang bermasalah ini kita nak terus sokong. Saya masih ingat lagi sewaktu awal pembabitan saya dalam dunia seni ada beberapa artis yang disenarai hitam atau digam oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama bertahun-tahun dan tidak dibenarkan keluar TV.

“Jadi saya minta pihak kerajaan mempraktikkan semula langkah ini supaya selebriti tempatan berhati-hati dan tidak buat perkara di luar batasan. Langkah ini juga akan membuatkan mereka berfikir panjang dan tidak buat perkara sesuka hati,” katanya.

Menurutnya lagi, dia melihat satu peratus saja yang bermasalah namun mereka ini boleh menjejaskan nama baik industri seni dan harus diberikan hukuman setimpal.

“Bagi saya 99 peratus orang dalam industri seni semuanya adalah baik, tapi hanya ada satu peratus saja yang bermasalah dan menjejaskan nama baik industri seni… Hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Jadi wajarlah individu yang bermasalah ini diberi hukuman yang setimpal,” katanya.

Dalam pada itu, Aida berkata dia melihat keputusannya menyenarai hitam pelakon Ruhainies sekaligus memberi rezeki berganda buat pelakon Bella Astillah.

“Saya tak sanggup melihat wanita seperti dia terus dianiaya, apatah lagi ditipu hidup-hidup oleh rakan baik sendiri.  Saya harap pertolongan ini dapat memberi sedikit kelegaan untuk Bella meneruskan kehidupan selepas ini. Dia mempunyai tanggungjawab yang berat, jadi sama-samalah kita membantunya,” katanya.

SUMBER: Harian Metro