Penyanyi dan pelakon Izzue Islam berkata dia tumpang gembira mendapat perkhabaran sahabatnya, pelawak Achey dan isterinya, Anne bakal menimang cahaya mata selepas 15 tahun menanti.
Memetik OhBulan, Izzue berkata dua kali dia menangis apabila Achey dan isterinya datang ke rumah membawa kejutan berkenaan.
BACA: Riena Diana Puji Izzue Islam Tak Bersentuhan Dengan Pelakon Wanita
“Ketika mereka membuat pengumuman itu, sebenarnya saya dah nangis dua kali. Mereka datang ke rumah untuk buat kejutan, berpura-pura menghantar kuih bahulu dan makanan.
“Kemudian, mereka menunjukkan sesuatu kepada Awin. Selepas itu, mereka berdua menangis. Saya pun tertanya-tanya kenapa mereka menangis. Kemudian saya peluk Awin dan apabila saya tengok apa yang ditunjukkan menerusi telefon, barulah kami tahu,” katanya.
Sementara itu, Izzue berkata dia tumpang gembira dengan berita tersebut, malah dia bersama isteri, Awin Nurin tidak pernah putus asa agar dikurniakan zuriat.
“Saya sangat gembira untuk mereka. Saya sendiri tidak pernah berhenti berusaha dan berdoa mendapatkan zuriat Usaha tetap perlu dilakukan. Kami tidak pernah berhenti berusaha dan tidak pernah berhenti berdoa.
“13 tahun itu satu tempoh yang lama. Tetapi sahabat kita, Achey, selepas 15 tahun pun Allah rezekikan. Kenapa kita mahu mengatakan tidak pada rezeki kita?” katanya.