Pelakon Isa Khan berkata dia kini sedang belajar membiasakan diri untuk menjalani kehidupan sendiri tanpa sesiapa di sisi.
Menerusi perkongsian di Instagram, Isa seolah meluahkan perasaannya untuk membiasakan diri tanpa teman di sisi dan ada masanya merasai kesunyian.
BACA: “Apa Yang Kau Kalut Sangat Nak Pakai Kostum” – Isa Khan Kesal Artis Islam Sambut Halloween
Bagaimanapun, Isa berkata dia percaya bahawa Allah akan ada di sisi dan kepada Yang Maha Esa tempatnya mengadu.
“Kini aku belajar untuk menjalani kehidupan dengan sendiri, pulang ke rumah tanpa sesiapa menanti, melalui hari tanpa teman di sisi dan biasakan diri dengan sunyi yang dahulu tidak pernah aku kenali.
“Ada waktunya sepi terasa begitu berat, ada ketika hati terlalu penat untuk berpura-pura kuat. Tapi aku percaya Allah Swt tak pernah tinggalkan aku, Dia tempat aku mengadu, tempat aku bersandar dan satu-satunya tempat hati ini menemukan ketenangan,” tulisnya.
Sementara itu, Isa berkata dia tidak mahu terlalu meratapi di atas kehilangan sebaliknya bersyukur dengan apa yang masih dipinjamkan oleh Allah serta berdoa agar dikuatkan hatinya.
“Aku tidak mahu terlalu meratapi apa yang telah hilang, tapi aku mahu belajar untuk bersyukur dengan apa yang masih Allah Swt pinjamkan hari ini. Aku yakin setiap ujian pasti ada hikmah, setiap kehilangan pasti ada pengajaran dan setiap kesulitan pasti ada jalan,” tulisnya.