Pemimpin UMNO Cadang GST Dikembalikan, Bermula Kadar 3%

Seorang pemimpin UMNO mencadangkan supaya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikembalikan secara berperingkat, bermula pada kadar tiga peratus bagi tempoh lima tahun pertama.

Memetik laporan UMNO Online, Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor merangkap Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berkata, kadar itu boleh dinaikkan kepada lima peratus dan seterusnya enam peratus selepas penilaian dibuat berdasarkan keadaan ekonomi serta kemampuan rakyat.

Menurutnya, pendekatan berperingkat itu memberi ruang kepada pengguna, perniagaan dan kerajaan untuk menyesuaikan diri, selain membolehkan kesan pelaksanaannya dinilai.

“Saya tidak mencadangkan GST dikembalikan secara membuta tuli. Kita perlu belajar daripada pengalaman lalu, memperbaiki kelemahan pentadbiran dan memastikan setiap ringgit cukai yang dikutip memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Armand Azha berpandangan GST merupakan sistem percukaian yang lebih telus kerana pengguna dapat mengetahui jumlah sebenar cukai yang dikenakan terhadap pembelian mereka.

Selain itu, katanya, mekanisme kredit cukai input menerusi GST membolehkan perniagaan menuntut semula cukai input yang layak, sekali gus mengurangkan risiko cukai bertindih.

Beliau berkata, berdasarkan angka yang dilaporkan Kementerian Kewangan di Parlimen, kutipan GST antara April 2015 hingga Mei 2018 berjumlah RM184.8 bilion, manakala kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) antara September 2018 hingga Disember 2023 berjumlah RM150.4 bilion.

Bagaimanapun, beliau mengakui kedua-dua angka itu tidak boleh dibandingkan secara langsung kerana melibatkan tempoh kutipan dan keadaan ekonomi yang berbeza.

Armand Azha menegaskan pengembalian GST perlu disertai langkah melindungi rakyat dan perniagaan, termasuk layanan cukai bersesuaian bagi barangan keperluan asas, mempercepatkan bayaran balik cukai serta memperkukuh bantuan bersasar kepada golongan B40.

Dalam pada itu, beliau mencabar Kerajaan MADANI supaya membentangkan kajian perbandingan GST dan SST secara terbuka, khususnya mengenai kesannya terhadap kuasa beli rakyat, kos perniagaan, pelaburan dan kewangan negara.

“Jangan takut untuk membuka perbincangan mengenai GST hanya kerana bimbang menerima kritikan. Lebih baik kita berani bercakap benar dan menilai dasar secara terbuka daripada terus berdiam diri sedangkan masa depan ekonomi serta beban hidup rakyat menjadi pertaruhan,” katanya.

“Apa yang perlu dipertahankan bukanlah GST atau SST, bukan juga dasar mana-mana kerajaan. Apa yang wajib kita pertahankan ialah kepentingan rakyat, daya saing ekonomi dan masa depan Malaysia,” katanya lagi.

Cadangan itu menyusul selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA pada Ahad lalu berjanji akan mengembalikan GST sekiranya gabungan itu kembali menerajui pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 November lalu menegaskan kerajaan belum bercadang mengembalikan GST kerana dikhuatiri membebankan rakyat, namun boleh dipertimbangkan sekiranya pendapatan minimum rakyat mencapai RM4,000 sebulan.

×