Belum masuk tahun 2027, tetapi ibu bapa yang ada anak bersekolah tentu sudah mula berkira-kira tentang belanja persekolahan tahun depan.
Baju sekolah, kasut, beg, alat tulis dan macam-macam lagi perlu disediakan, apatah lagi kalau ada dua atau tiga orang anak yang masih bersekolah.
Bagi yang mempunyai anak perempuan, mungkin ramai belum tahu bahawa pakaian seragam sekolah kini boleh ditempah melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), malah bayarannya boleh dibuat secara ansuran.
Dikenali sebagai Baju Sekolah NADI, pakaian seragam yang dihasilkan oleh alumni program NADI MAHIR Jahit ini khusus untuk pelajar perempuan sekolah rendah dan menengah, dengan set lengkap merangkumi baju kurung, kain dan tudung.

Harganya juga boleh tahan menarik kerana ahli NADI boleh mendapatkan set pakaian sekolah rendah pada harga RM45.90 hingga RM60.90 mengikut saiz, berbanding RM63.50 hingga RM75.90 untuk bukan ahli.
Bagi pelajar sekolah menengah pula, harga untuk ahli NADI antara RM63.90 hingga RM75.90, manakala bukan ahli antara RM77.90 hingga RM80.50, bergantung pada saiz pakaian.
Kalau belum mahu keluarkan belanja sekali gus, ibu bapa boleh memilih bayaran ansuran sehingga 12 bulan tanpa faedah atau caj tambahan.
Bayaran boleh dibuat sedikit demi sedikit mengikut jadual yang ditetapkan, cuma pakaian hanya boleh diambil selepas semua ansuran dijelaskan.
Nak buat tempahan pun mudah, hanya kunjungi Pusat NADI yang menawarkan perkhidmatan ini bersama anak untuk melihat contoh pakaian dan mencuba saiz yang sesuai.
Selepas memilih saiz dan jumlah set yang diperlukan, petugas NADI akan membantu menguruskan tempahan serta pilihan pembayaran sama ada secara penuh atau ansuran.
Pakaian yang ditempah akan dihantar ke Pusat NADI dan ibu bapa akan dihubungi apabila pesanan sudah tersedia untuk diambil, tertakluk kepada bayaran penuh diselesaikan.

Soal keselesaan anak pun diambil kira kerana baju kurung NADI menggunakan fabrik campuran poliester dan kapas yang cepat kering, mudah digosok serta tidak mudah renyuk.
Tudung putih dua lapis yang disertakan pula tidak jarang dan mudah dibentuk, jadi ibu bapa tidak perlu bersusah payah mencari tudung secara berasingan.
Pembelian satu set Baju Sekolah NADI juga melayakkan pelanggan menyertai cabutan bertuah dengan hadiah RM100 melalui Touch ‘n Go eWallet untuk 50 pemenang, tertakluk kepada syarat kempen.
Di sebalik setiap tempahan pula, ada alumni NADI MAHIR Jahit yang mendapat peluang menambah pendapatan melalui kemahiran menjahit yang mereka pelajari.
Jadi, kalau sudah bercadang membeli pakaian sekolah anak untuk sesi 2027, bolehlah mula membuat tempahan lebih awal, terutama jika mahu memanfaatkan kemudahan bayaran ansuran.
Untuk maklumat lanjut, ibu bapa boleh mengunjungi Pusat NADI yang mengambil bahagian atau melayari www.nadi.my bagi mendapatkan maklumat mengenai tempahan Baju Sekolah NADI.