Orang ramai disaran mengemas kini sistem operasi telefon pintar masing-masing sebagai persediaan menerima amaran kecemasan menerusi Sistem Amaran Awal (EWS) yang sedang dilaksanakan secara berfasa.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, langkah itu bagi memastikan telefon mudah alih pengguna bersedia menerima amaran kecemasan menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS).
“EWS menggunakan teknologi CBS yang membolehkan amaran kecemasan dihantar secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi yang dikenal pasti, tanpa memerlukan pengguna memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan perkhidmatan khusus,” kata MCMC dalam kenyataan.
Sebagai panduan awal, MCMC memaklumkan beberapa keperluan minimum peranti bagi menyokong penerimaan amaran EWS, tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir.
Bagi pengguna Apple, peranti yang disokong ialah iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan sistem operasi iOS 27.2 atau versi terkini.

Telefon Android pula perlu menggunakan Android 12 atau versi terkini, manakala peranti Huawei memerlukan EMUI 16 atau versi terkini.

MCMC turut menasihatkan pengguna supaya memasang kemas kini perisian terkini, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini serta memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan, sekiranya berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, MCMC pada Khamis mengadakan sesi taklimat khas bersama Ketua-Ketua Pengarang media bagi memperkenalkan EWS, menjelaskan mekanisme penyampaian amaran serta memperkukuh kerjasama media dalam meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat.
Sesi berkenaan turut disertai demonstrasi menerusi ujian teknikal dalaman yang dijalankan di bangunan MCMC, Cyberjaya.
MCMC menjelaskan, ujian itu bertujuan menilai dan menambah baik sistem sebelum pelaksanaannya diperluaskan secara berfasa.
“Aktiviti pada 19 November ini merupakan ujian teknikal dalaman bagi tujuan penilaian dan penambahbaikan sistem sebagai persediaan ke arah pelaksanaan yang lebih meluas.
“Pelaksanaan ujian pada skala lebih luas akan dibuat secara berfasa,” menurut MCMC.
Pelaksanaan EWS melibatkan kerjasama MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memperkukuh keupayaan negara menyampaikan amaran kecemasan dengan lebih pantas dan bersasar.
“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa peka terhadap maklumat rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan.
“EWS melengkapi saluran amaran sedia ada sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi bencana,” menurut kenyataan itu.