Pelakon dan pengacara Awal Ashaari berkata dia tidak menggalakkan anak-anaknya, Lara Alana dan Lyla Amina untuk menceburi dunia seni apabila dewasa.

Memetik Harian Metro, Awal turut berkongsikan masa depan anak seni serta realiti kehidupan yang tidak menentu meskipun anaknya pernah menyuarakan mahu menjadi pelakon seperti ibu mereka.

BACA: “Mak Ai Haram Tu Kak” – Netizen Tegur Foto Dynas Mokhtar Dengan Awal Ashaari

“Anak saya sudah kena ‘brainwash’. Kadang-kadang mereka cakap nak jadi pelakon macam Scha, tetapi Scha kata jangan jadi artis, artis tak banyak duit.

“Kadang-kadang benda ini ikut rezeki dan nasib. Dalam Malaysia, bukan saja soal bakat, tetapi dia disertai dengan rezeki dan juga nasib. Kalau nasib awak baik, orang kata untung sabut timbul, kalau dia tenggelam, macam mana nak timbul? Susah,” katanya.

Sementara itu, Awal berkata peluang pekerjaan sebagai selebriti tidak menentu dan ada turun naik serta berharap kedua-dua anaknya memilih kerja yang menjamin masa depan.

“Kehidupan sebagai selebriti ini tidak menentu. Kalau tengah ‘meletup’, tawaran banyak. Selepas itu kalau dah suam-suam, nanti tawaran akan kurang, jadi memang tiada jaminan. Orang lain apabila sudah berumur, mereka boleh fikir nak bersara sebab duit simpanan banyak kemudian ada pencen.

“Kalau selebriti kena carum sendiri, itu pun kalau ada yang beringat. Kalau yang tidak beringat, masa tengah gembira, berjoli-joli, tiba-tiba bila dah ‘down’, tiada apa-apa.

“Daripada situlah saya rasa macam anak-anak ini kalau boleh mereka carilah kerja yang boleh menjamin (masa depan mereka). Bukan nak kata industri kita tidak menjamin, tetapi ia bergantung kepada rezeki dan nasib,” katanya.

Sumber: Harian Metro

×