Gara-gara pantun ‘kencing’ yang mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan akhirnya memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga dengan serangkap pantun.
Menariknya, Ahmad yang sememangnya gemar berpantun turut menyelitkan pantun khas buat Perdana Menteri sebagai penutup surat permohonan maaf bertarikh 17 November itu.
“Bunga rimbun, cantik tercipta; Berakar umbi, menambah seri; Maaf dipohon, saya pinta; Kepada YAB, Perdana Menteri.”
Menerusi surat berkenaan, Ahmad mengakui pemilihan kata-katanya ketika sesi penggulungan perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya pada 16 November lalu tidak sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai anggota pentadbiran.
“Dengan penuh hormat dan rendah hati, saya memohon maaf kepada YAB Dato’ Seri atas kekhilafan kata-kata saya, termasuk pantun yang dilafazkan ketika sesi penggulungan perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat pada 16 November 2026.
“Saya mengakui bahawa pemilihan kata tersebut tidak sesuai dengan tanggungjawab saya sebagai Anggota Pentadbiran dan kesal atas ketidakselesaan yang timbul,” katanya.
Ahli Parlimen Pontian itu turut menjelaskan bahawa pantun yang mencetuskan kontroversi berkenaan tidak terkandung dalam teks penggulungan yang disediakan, sebaliknya disampaikan ketika menjawab pertanyaan mengenai pengurangan dan penghapusan tol.
“Saya sememangnya gemar berpantun dalam penyampaian ucapan.
“Pantun tersebut tidak terkandung dalam teks penggulungan dan disampaikan ketika menjawab dua pertanyaan Ahli Parlimen mengenai pengurangan dan penghapusan tol,” katanya.
Ahmad turut memaklumkan bahawa beliau sudah menarik balik pantun berkenaan termasuk perkataan ‘kencing’ ketika persidangan Dewan Rakyat.
Terdahulu, Ahmad mencetuskan kekecohan ketika sesi penggulungan perbahasan di Dewan Rakyat selepas membacakan pantun berikut:
“Jika tuan pergi memancing, Jangan lupa membawa umpan, Jika tak mahu kena kencing, Sokong Barisan dan Perikatan.”
Pantun tersebut mengundang bantahan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), termasuk RSN Rayer (PH-Jelutong), sebelum Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor mengarahkan Ahmad menarik balik perkataan ‘kencing’ kerana tidak sesuai digunakan dalam persidangan.
Kontroversi itu turut mencetuskan desakan supaya Ahmad meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri, termasuk daripada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.
Bagaimanapun, dalam surat permohonan maafnya, Ahmad menegaskan beliau tidak berniat menjejaskan atau memutuskan hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar.