Penyanyi Sarah Suhairi berkata penting untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menyemak latar belakang pasangan sebelum berkahwin.
Memetik Oh Bulan, Sarah berkata dia melihat banyak isu dibincangkan mengenai narsisistik di media sosial dan tindakan mengambil tahu sejarah pasangan bukan untuk menghakimi tetapi memahami mereka.
BACA: “Tak Pernah Rasa Cantik Macam Ni” – Sarah Suhairi Tergamam Dengan Solekan Alha Alfa
“Untuk saya gambarkan seseorang itu narsistik ataupun tidak, agak sukar sebab saya bukan dalam bidang itu tetapi sekarang di Threads terlalu banyak orang membincangkan tentang narsisis dan sebagainya. Mungkin boleh minta pendapat daripada profesional berkaitan sifat-sifat individu narsistik yang boleh kita elak.
“Apabila mahu berkahwin, sedikit sebanyak kita perlu mengambil tahu tentang pasangan, bukan untuk menghukum tetapi untuk faham bagaimana pengalaman membentuk mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Sarah berkata dia memahami ada wanita bimbang dalam memilih pasangan hidup terutama apabila memikirkan jika berdepan masalah rumah tangga di masa akan datang.
Kata Sarah lagi, wanita perlu pastikan mereka berada dalam keadaan selamat dan selesa dalam perhubungan sebelum membuat keputusan berkahwin.
“Kita cari titik tengah tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Sebelum kahwin, tanya dulu soalan-soalan yang penting walaupun soalan yang kurang selesa untuk dibincangkan kerana kita dibesarkan dalam keluarga yang berbeza.
“Jadi semua ada pengalaman yang berlainan. Saya faham ketakutan itu ada di pihak perempuan terutama membabitkan penceraian kerana memang di pihak lelaki.
“Walaupun kita boleh minta, tapi prosesnya akan jadi sangat panjang. Jadi tidak mengapa, buatlah segala semakan latar belakang, janji kita rasa diri kita selamat dan kalau rasa okay baru teruskan,” katanya.
Sumber: Oh Bulan