Tindakan kejam seorang individu yang menggantung seekor kucing di luar tingkap kenderaan pacuan empat roda (4WD) mencetuskan kemarahan pengguna media sosial selepas rakaman kejadian itu tular.
Haiwan berkenaan dipercayai digantung menggunakan tali yang diikat pada lehernya ketika berada di luar tingkap kenderaan terbabit.
Kejadian yang dipercayai berlaku di Jalan Batu 2, Jalan Mersing, Kluang, kini dalam siasatan polis yang sedang giat mengesan individu terbabit.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya mengesan video berdurasi tujuh saat memaparkan perbuatan berkenaan kira-kira jam 6.30 petang Khamis.
Menurutnya, siasatan awal mendapati individu yang menaiki kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai mengikat leher kucing menggunakan tali sebelum menggantung haiwan berkenaan di luar tingkap.
“Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kluang dengan nombor laporan Kluang Repot 22016/2026.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap haiwan.
“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bahrin berkata, usaha mengesan suspek masih dijalankan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222 atau hotline 07-7766822.