Malaysia sedang membangunkan pelan nasional bagi peralihan infrastruktur maklumat kritikal negara kepada teknologi kriptografi pascakuantum, seiring perkembangan teknologi komunikasi kuantum.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau sudah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta pengendali telekomunikasi bagi mewujudkan platform ujian penyelidikan dan pembangunan bersama.

Menurutnya, kerjasama itu membolehkan penyelesaian teknologi diuji secara bersama bagi mempercepatkan peralihan kepada kriptografi pascakuantum dengan selamat.

“Malaysia sedang membangunkan pelan nasional untuk mengalihkan infrastruktur maklumat kritikal kepada kriptografi pascakuantum.

“Saya telah meminta MCMC mengadakan kerjasama dengan MKN, NACSA dan pengendali telekomunikasi bagi mewujudkan platform ujian penyelidikan dan pembangunan bersama.

“Ini membolehkan kita menguji penyelesaian secara bersama dan mempercepatkan peralihan tersebut dengan selamat,” katanya ketika menyampaikan kenyataan dasar Malaysia pada Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 di Doha, Qatar, Isnin lalu.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, liputan internet di kawasan berpenduduk di Malaysia mencapai 99.75 peratus setakat September lalu, dengan jumlah langganan 5G sebanyak 31.3 juta.

Katanya, pencapaian menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) itu turut disusuli usaha meneliti peluasan liputan internet melangkaui kawasan berpenduduk kepada kawasan ekonomi utama.

“Kita kini sedang meneliti bagaimana liputan boleh diperluaskan melangkaui kawasan berpenduduk untuk turut merangkumi kawasan ekonomi utama,” katanya.

Suasana persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 di Doha, Qatar.

Menurutnya, kawasan berkenaan termasuk pelabuhan, rangkaian kereta api dan lebuh raya yang memerlukan kesalinghubungan boleh dipercayai bagi menyokong perniagaan, pertumbuhan ekonomi serta daya tahan.

Fahmi berkata, sebanyak 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut memperkasakan masyarakat melalui kemahiran digital dan peluang keusahawanan, manakala Kempen Keselamatan Internet di seluruh negara sudah menjangkau lebih tiga juta peserta.

Sementara itu, ketika berucap pada Sesi Meja Bulat Peringkat Menteri sempena persidangan sama, Ahad lalu, Fahmi menegaskan bahawa kesalinghubungan bermakna perlu melangkaui aspek liputan rangkaian semata-mata.

“Kesalinghubungan yang bermakna mesti melangkaui liputan rangkaian. Ia mestilah mampu milik, boleh dipercayai dan berdaya tahan bagi menyokong masyarakat, perkhidmatan penting serta aktiviti ekonomi,” katanya.

Pada sesi itu, Fahmi turut menyambut baik draf Deklarasi Menteri-Menteri Doha yang antara lain memberi penekanan kepada infrastruktur digital berdaya tahan dan mampan, keterangkuman digital serta persekitaran digital yang selamat dan dipercayai.

Menurutnya, transformasi digital perlu membuka peluang kepada semua masyarakat tanpa mengira lokasi atau tahap kesediaan digital, termasuk melalui pelaburan dalam kemahiran, pembangunan kapasiti dan sokongan terhadap inovasi.

Beliau berkata, negara membangun dan masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan juga perlu diberi peluang bukan sahaja menggunakan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), malah turut membentuk dan memperoleh manfaat daripada perkembangannya.

Dalam kenyataan dasar pada Isnin, Fahmi turut memohon sokongan negara anggota bagi pencalonan semula Malaysia ke Majlis ITU untuk penggal 2027 hingga 2030.

Malaysia yang menjadi anggota ITU sejak 1958 kini merupakan anggota Majlis ITU dan kekal komited terhadap kerjasama dalam memajukan keutamaan digital bersama.

×