Pendakwah terkenal PU Riz menafikan dakwaan menawarkan tiket wayang sebagai ganti bayaran balik kepada peserta bagi sebuah program keagamaan yang dibatalkan baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan, PU Riz kesal dengan dakwaan berkenaan dan pihaknya komited untuk selesaikan setiap aduan secara bertanggungjawab.
BACA: “Ini Juga Saranan Agama” – PU Riz Cadang Orang Awam Di Malaysia Tak Boleh Pelihara Anjing
“Pertama sekali, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa tiket wayang ditawarkan sebagai ganti bayaran balik.
“Dakwaan sedemikian amat dikesali dan tidak sepatutnya dibuat tanpa mengambil kira fakta serta penjelasan daripada pihak kami,” katanya.
Sementara itu, PU Riz berkata pihaknya sedang mengambil tindakan untuk melaksanakan proses bayaran balik kepada pembeli tiket.
Malah, pihaknya memberi jaminan tidak akan menghalang atau menyekat permohonan bayaran balik yang dikemukakan.
“Prinsip kami jelas. Sebarang pertukaran akad kepada barangan mestilah mendapat persetujuan pembeli sepenuhnya. Jika pembeli tidak bersetuju, proses bayaran balik akan dilaksanakan. Kami mahu perkara ini diselesaikan dengan baik, telus dan adil kepada semua pihak,” katanya.