Pelawak dan usahawan Shuib tampil menjawab dakwaan syarikat perusahaannya Bubblebee yang dikatakan gagal melunaskan bayaran caruman wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerjanya.

Menerusi video dimuat naik di Instagram, Shuib berkata syarikatnya itu sudah mula membuat bayaran secara ansuran caruman berkenaan selama 10 bulan dan masih berbaki 14 bulan.

BACA: “Saya Tak Ego” – Shuib Mahu Baiki Hubungan Dengan Jep

“Saya ingin nyatakan tentang KWSP, di mana sekarang ini Alhamdulillah, Bubblebee telah pun membuat bayaran ansuran selama 10 bulan kepada KWSP bermula bulan Januari 2026.

“Insya-Allah akan berbaki lagi 14 bulan. Saya sedar saya manusia yang tidak sempurna, selalu berbuat salah, selalu buat dosa, jadi saya mohon maaf, saya mohon maaf, saya mohon maaf di atas kekhilafan saya,” katanya.

Sementara itu, Shuib turut berharap orang ramai tidak memboikot beberapa perniagaannya kerana itu adalah perniagaan sah dan halal serta hasil pendapatan tersebut digunakan untuk membayar hutang perniagaan Bubblebee.

“Sepah Penyey, Bubblebee, Nusantara Food, Sambal Hitam adalah perniagaan yang sah, halal dan inilah dia sumber pendapatan keluarga saya sekarang dan inilah yang saya jalankan sekarang untuk membayar segala hutang company iaitu Bubblebee.

“Janganlah kerana marahkan saya, kerana benci kepada saya, perniagaan saya diboikot, sedangkan perniagaan saya sah dan halal. Saya anggap ini adalah ujian dan balasan di atas kekhilafan saya yang telah pun saya lakukan,” katanya.

×