Tindakan pelawak Jep Sepahtu mendedahkan rekod pembayaran zakat sebanyak 1.935 juta bagi tempoh 2016 sehingga 2025 mendapat pujian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Menerusi perkongsian di Facebook, Dr Zulkilfi menyifatkan tindakan Jep itu sebagai langkah berani dalam mempertahankan integriti serta menangkis fitnah.
BACA: Shuib Dah Baca Luahan Jep, Enggan Komen
“Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan buat Sdra. Jep Sepahtu (Mohd Nadzri Zainal Abidin) yang benar-benar menjadi wira serta inspirasi kepada para asnaf di Wilayah Persekutuan. Kita ambil dari sudut positif, dan doakan yang baik-baik untuk semua.
“Langkah beliau berkongsi rekod pembayaran zakat dari tahun 2016 hingga 2025 yang mencecah kira-kira RM1.935 juta merupakan satu tindakan berani demi menegakkan ketelusan, mempertahankan integriti, dan menangkis fitnah, sekali gus membuktikan pelaksanaannya secara telus berlandaskan kewajipan agama,” tulisnya.
Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata perkongsian Jep itu wajar dijadikan iktibar dan contoh mengenai kepentingan menunaikan zakat.
“Pengorbanan dan ketelusan figura awam seperti beliau wajar dijadikan ibrah dan iktibar terbaik buat seluruh masyarakat.
“Zakat bukan sahaja menyucikan harta, malah menjadi benteng ekonomi serta penyambung hayat buat golongan yang memerlukan,” katanya.