Pelakon veteran, Kismah Johar gembira apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq sah bergelar suami kepada Bella Astillah pada Sabtu lalu.
Memetik Astro Gempak, Kismah berkata perkahwinan pasangan itu sememangnya dinantikan rakyat Malaysia yang turut mendoakan kebahagiaan mereka.
“Saya rasa sangat gembira dan mengucapkan selamat pengantin baharu. Semoga kedua-duanya kekal bahagia hingga ke jannah.
“Memang kami sentiasa mendoakan mereka berdua supaya orang kata diijabkabulkan. Alhamdulillah, hari ini tertunailah sudah apa yang kami hajatkan dan begitu juga seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Kismah turut menitipkan pesanan buat pasangan itu agar bertolak ansur agar rumah tangga dan hubungan suami isteri kekal harmoni.
“Orang kata sentiasa bersabar, kemudian faham-memahami antara satu sama lain. Rasanya daripada pandangan saya, mereka pasangan yang sangat romantis dan sangat memahami antara satu sama lain.
“Rasanya tak ada masalah pada mereka dan apa-apa yang kecil-kecil itu, seperti yang Cik Awang cakap tadi, kita cepat-cepat perbaiki dan cepat-cepat bermaaf-maafan antara satu sama lain,” katanya.
Sebelum ini, Kismah Johar sanggup mengambil cuti awal daripada penggambaran demi memberikan sokongan moral kepada YB Syed Saddiq di Mahkamah Persekutuan pada 13 Julai lalu.
Sumber: Astro Gempak