Jaguh Muay Thai Negara, Johan Ghazali memilih untuk tetap dengan bersama jenama penjagaan diri dari Indonesia, Kahf yang didakwa menyindir beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Menerusi satu hantaran di Threads, Jojo berkata pihak Kahf melakukan kesilapan namun termasuk kita semua turut membuat silap.
BACA: “Lebih Banyak Masa Di Sini” – Jojo & Keluarga Terkandas Di Mekah
Menurut Jojo lagi, baginya jika pihak tersebut membuat permohonan maaf diatas kesilapan mereka tiada masalah.

“Sudah tentu pasukan Kahf melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya, tetapi kita semua melakukan kesilapan. Selagi mereka memohon maaf, saya tidak mempunyai masalah dengan perkara itu,” tulisnya.
Sementara itu, Jojo berkata sepanjang mereka bekerjasama tiada sebarang masalah timbul. Malah, dia pernah melakukan perkara luar biasa namun tidak pernah diboikot oleh pihak Kahf.
“Saya pernah berkata dan melakukan perkara yang jauh lebih luar biasa daripada ini dan mereka tidak pernah memboikot saya.
“Saya tetap setia bersama Kahf. Kita semua melakukan kesilapan. Selagi kita memohon maaf, kita boleh terus melangkah ke hadapan. Perkara ini sebenarnya bukanlah isu yang terlalu besar. Bertenanglah semua,” tulisnya.