Sebuah pusat peranginan terbiar di Sungai Lembing, Pahang disewa RM30,000 sebulan sebelum dijadikan ‘markas’ sindiket scammer antarabangsa yang beroperasi 24 jam lengkap dengan generator, Starlink serta tonto.

Lebih menarik, ahli sindiket yang bekerja secara syif dibayar gaji RM3,000 sebulan dan perlu memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI), dengan pendapatan mereka dipotong sekiranya gagal mencapai sasaran ditetapkan.

Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu premis berkenaan pada Isnin selepas kira-kira sebulan menjalankan risikan, sekali gus membawa kepada penahanan 98 individu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 95 warga asing termasuk 88 warga China serta tiga warga tempatan.

“Daripada jumlah itu, 84 lelaki dan empat wanita warga China, seorang lelaki serta seorang wanita Myanmar, masing-masing seorang wanita Indonesia, Hong Kong, Vietnam, Kemboja dan Rusia.

“Kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pemilik pusat peranginan tersebut serta seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang dipercayai bekerja di situ,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya.

Menurut Zakaria, pusat peranginan yang terletak di kawasan terpencil itu kali terakhir beroperasi pada 2025 sebelum dipercayai disewa sindiket terbabit sejak kira-kira tiga bulan lalu.

“Lokasinya agak terpencil dan sindiket ini turut menggunakan individu tertentu sebagai tonto untuk memantau sebarang pergerakan keluar masuk ke kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, sindiket berkenaan turut menggunakan generator kerana premis itu tidak lagi mempunyai bekalan elektrik, selain 11 set Starlink yang dipercayai menjadi talian internet bagi operasi mereka.

“Starlink menggunakan sambungan satelit dan tidak bergantung kepada rangkaian telekomunikasi biasa. Itu antara modus operandi yang kita percaya digunakan sindiket ini,” katanya.

Katanya, JIM turut menyita 120 set komputer, 100 telefon bimbit, satu sistem kamera litar tertutup (CCTV), sembilan bungkusan kad SIM belum digunakan serta wang tunai RM5,000 dalam serbuan berkenaan.

Zakaria berkata, ahli sindiket dipercayai bekerja secara syif dengan sasaran mangsa mereka adalah warga China.

“Ahli sindiket dibayar gaji sebanyak RM3,000 sebulan, namun sekiranya tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan, pendapatan mereka akan dipotong. Sasaran mangsa pula di China,” katanya.

Menurutnya, siasatan turut mendapati sindiket berkenaan dipercayai berpindah-randah dari sebuah negara ke negara lain bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

“Berdasarkan rekod dalam pasport yang dirampas, terdapat bukti menunjukkan mereka pernah berada dan beroperasi di beberapa negara lain termasuk Kemboja dan Vietnam.

“Modus operandi mereka ialah beroperasi di sesebuah negara dalam tempoh tertentu sebelum berpindah ke negara lain bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan,” katanya.

Beliau berkata, daripada 88 warga China yang ditahan, hanya 49 pasport China ditemukan, manakala sebahagian yang tidak memiliki dokumen perjalanan dipercayai berkemungkinan memasuki negara ini melalui laluan tidak sah.

Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 75 tahun dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

×