Dalam keadaan sangat lemah dan tidak lagi mampu berkata-kata, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal masih sempat memandang wajah neneknya serta mengangkat tangan sebelum terkulai.

Detik terakhir pelajar Tingkatan Empat berusia 16 tahun itu dikongsikan neneknya, Jameyah Rabani, yang bergegas ke sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat selepas cucunya tidak pulang ke rumah petang semalam.

“Rakan jumpa arwah dalam keadaan sangat lemah di dewan sekolah. Ketika itu, arwah sempat memandang muka saya seketika dan angkat tangan sebelum terkulai,” katanya.

Menurut Jameyah, kegelisahannya bermula apabila dua rakan Irene datang ke rumah untuk bertanyakan sama ada cucunya sudah pulang selepas mereka menemui motosikal milik remaja itu masih berada di kawasan sekolah.

Katanya, Irene menghadiri kelas tambahan bermula jam 2 petang dan sepatutnya selesai kira-kira jam 5 petang.

“Hati saya mula gelisah lalu mengajak anak saya (Siti Nur Faeza Khyar) serta rakan arwah untuk mencarinya di dalam kawasan sekolah. Puas kami mencari tetapi tidak menjumpai arwah sehinggalah rakannya menjerit ke arah saya memberitahu terjumpa cucu berada dalam keadaan berdarah,” katanya.

Jameyah berkata, dia kemudian berlari ke dalam dewan selepas rakan cucunya menjerit meminta beliau segera masuk kerana terdapat banyak darah pada Irene.

“Saya berlari dan melihat keadaannya yang amat menyayat hati. Ketika itu, cucu sudah tidak boleh bercakap tetapi dia sempat menunjukkan tindak balas dengan mengangkat tangan dan menoleh ke arah saya.

“Saya memeluknya sambil mengajar dia mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.

Menurut Jameyah, hatinya mula merasakan Irene sudah ‘tiada’ apabila cucunya tidak lagi menunjukkan sebarang tindak balas meskipun namanya dipanggil beberapa kali.

Pagi sebelum kejadian, Jameyah berkata, dia sempat mengajak Irene menghadiri kenduri kahwin, namun cucunya memilih untuk tidak ikut kerana perlu menghadiri kelas tambahan secara dalam talian pada jam 11 pagi sebelum ke sekolah untuk kelas tambahan pada jam 2 petang.

“Saya reda tetapi amat sedih. Kami kehilangannya. Saya dan suami menjaga arwah sejak usia sembilan tahun selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, difahamkan tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sekolah sama ditahan beberapa jam selepas Irene ditemukan kira-kira jam 5.30 petang kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Difahamkan juga, seorang daripada pelajar terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat bagi mendapatkan perintah reman untuk membolehkan polis melengkapkan siasatan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani sebelum ini berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian.

“Polis sedang menyiasat kejadian ini sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya.

×