Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dikecualikan daripada pelaksanaan kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini selepas perkara itu dipersetujui Kabinet.
Keputusan itu dicapai selepas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong membangkitkan isu gaji minimum dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Menurut Steven, Kabinet bersetuju gaji rakyat perlu terus ditingkatkan, namun pada masa sama perniagaan tempatan khususnya PMKS perlu dilindungi ketika berdepan tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa.
“Saya telah membangkitkan isu gaji minimum dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini (Rabu). Kabinet bersetuju bahawa gaji rakyat perlu terus ditingkatkan.
“Namun, kita juga perlu melindungi perniagaan tempatan khususnya PMKS yang sedang berdepan tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa.
“Matlamat kita jelas iaitu kebajikan pekerja terbela dengan gaji yang lebih wajar, sementara PMKS kekal berdaya saing untuk terus berkembang dan menjana peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.
Steven berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan lain bagi membantu meningkatkan gaji pekerja dalam sektor PMKS.
Menurutnya, antara pendekatan itu termasuk sokongan subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif supaya kenaikan gaji bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti.
Sebelum ini media melaporkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 dijangka dinaikkan dengan perinciannya bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.
Menurut Anwar, semakan dan kajian bagi pelarasan gaji minimum kini berada pada peringkat akhir sebelum diumumkan dalam pembentangan belanjawan di Dewan Rakyat.