Pada Isnin lalu, tiga petugas kesihatan yang berada di sisi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ketika pengebumian isterinya, Tun Dr Hasmah menjadi perhatian ramai.
Memetik Harian Metro, salah seorang petugas perubatan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga Dr Mahathir semalam adalah Felo Klinikal Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman di Institut Jantung Negara (IJN), Dr Iskandar Mirza Amran.
Menurut Dr Iskandar lagi, dia turut melakukan bantuan pernafasan kecemasan atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) terhadap Dr Siti Hasmah pada Ahad lalu.
“Pada Ahad lalu, saya bertugas bagi syif 24 jam. Pada pagi semalam, kami dimaklumkan ada kod biru iaitu kecemasan membabitkan Dr Siti Hasmah.
“Saya antara individu yang dipanggil untuk melakukan bantuan pernafasan kecemasan atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) terhadap Dr Siti Hasmah sebelum beliau disahkan meninggal dunia,” katanya.

Ditugaskan untuk bersama Tun Dr Mahathir sepanjang urusan pengebumian, Dr Iskandar berkata bekas Perdana Menteri itu hanya menangis sepanjang masa.
“Saya lihat Dr Mahathir memang sedih. Beliau tidak banyak bercakap dan hanya menangis sepanjang masa. Saya ada bertanya keadaannya untuk periksa sama ada beliau ada mengalami sesak nafas atau sakit dada dan dimaklumkan Dr Mahathir tidak alami simptom berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Iskandar berkata dia tidak sangka di atas penghargaan terhadapnya bersama dua lagi individu jururawat wanita berbangsa India dan juruterapi berbangsa Cina.
“Tidak dinafikan persepsi masyarakat terhadap doktor agak merosot kebelakangan ini atas pelbagai faktor. Namun, hantaran tular itu menukar persepsi orang ramai.
“Ramai pihak menghubungi saya mengucapkan terima kasih kerana menjaga Tun Mahathir. Saya rasa gembira apabila kehadiran kami mengubah persepsi negatif terhadap doktor.
“Apabila menerima ucapan terima kasih serta penghargaan daripada orang ramai, saya rasa penat lelah bertugas kira-kira 40 jam semalam amat berbaloi,” katanya.
Sumber: Harian Metro