Penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman menyifatkan ditahan di penjara kemudian menjalani pemantauan di Hospital Bahagia adalah pengalaman paling teruk pernah dilaluinya.
Memetik Astro Gempak, Yasin meluahkan rasa syukur serta menzahirkan terima kasih kepada Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kerana menandatangani pengampunan pembebasan.
BACA: “Penjara Tempat Yang Teruk, Kotor & Hina”
“Saya bersyukur dan gembira apabila dibebaskan sudah satu seminggu. Sebelum itu perjalanan berliku dan yang sangat mencabar dan pengalaman hidup paling teruk yang pernah saya lalui.
“Keluar masuk penjara dan kemudian dihantar ke Hospital Bahagia tapi seiring hari kemerdekaan, Sultan Selangor telah menandatangi perintah pembebasan buat saya. Saya sangat bersyukur,” katanya.
Kongsi Yasin lagi, dia perlu melalui semua proses sehingga mendapat pengampunan Sultan Selangor termasuk rekodnya juga akan diliihat sepanjang menjalani rawatan.
“Saya tidak diberikan laluan mudah (pembebasan awal) tetapi pihak hospital berpuas hati dengan rawatan dan saya stabil.
“Selama satu tahun setengah saya di Hospital Bahagia, saya rutin mengambil ubat dan rekod saya baik. Kemudian enam bulan seterusnya barulah melalui proses pembebasan. Saya melalui semua proses sehingga dapat pengampunan Sultan,” katanya.
Sementara itu, Yasin berkata dia perlu mematuhi dua syarat yag ditetapkan untuk pembebasannya itu dimana dia perlu mengambil ubat seumur hidup.
“Pembebasan saya daripada Hospital Bahagia ini bergantung kepada dua syarat. Pertama, saya tidak boleh meninggalkan ubat sampai akhir hayat. Dan keduanya saya tidak boleh terlibat kanabis lagi,” katanya.
Sumber: Astro Gempak