Telefon pintar pertama mungkin antara hadiah yang paling ditunggu seorang anak. Ada yang menerimanya sempena hari jadi, sebagai ganjaran selepas mencatat kecemerlangan akademik atau apabila ibu bapa merasakan sudah tiba masanya mereka memiliki telefon sendiri.
Namun bersama telefon pertama itu datang satu lagi perkara yang perlu difikirkan ibu bapa. Telefon pintar bukan sekadar alat untuk membuat panggilan, menghantar mesej atau membantu urusan sekolah.
Ia juga membuka akses kepada pelbagai aplikasi dan platform media sosial, malah sesetengah aplikasi media sosial mungkin sudah tersedia dalam peranti sejak awal.
Apabila anak mula memiliki telefon sendiri, keinginan untuk mempunyai akaun media sosial biasanya turut wujud, lebih-lebih lagi apabila rakan sebaya sudah mempunyai TikTok, Instagram atau menggunakan platform lain yang menjadi sebahagian daripada pergaulan mereka.
Di sinilah ibu bapa berdepan dilema. Tidak membenarkan anak mempunyai media sosial mungkin menyebabkan mereka berasa tersisih daripada rakan, tetapi membenarkannya pula bermakna ibu bapa perlu bersedia dengan risiko dan tanggungjawab yang datang bersama akses tersebut.
Bagi Nor Adriana Zainal, seorang jururawat berusia 40-an yang juga ibu tunggal kepada tiga anak perempuan yang kesemuanya kini bersekolah menengah, keputusan memberikan telefon kepada anak-anaknya dibuat lebih kepada keperluan apabila mereka semakin membesar dan mempunyai aktiviti sendiri.
“Saya tak rancang pun nak bagi telefon tapi bila dah makin besar, ada aktiviti sekolah dan kadang-kadang kena tunggu kita datang ambil, saya fikir senang kalau dia ada telefon sendiri. Sekurang-kurangnya kalau jadi apa-apa dia boleh terus hubungi saya.
“Cuma awal-awal lagi saya pesan mama bagi telefon sebab nak mudahkan kita berhubung, bukan bermakna semua benda dalam telefon terutama media sosial boleh guna sesuka hati,” katanya.
Namun cabaran mula dirasai apabila anak-anak melihat rakan mereka mempunyai akaun media sosial dan mahu melakukan perkara yang sama.
“Yang susah bila dia mula cakap, ‘Kawan semua ada TikTok, kenapa saya tak boleh?’ Memang ada masa kita rasa kesian juga. Budak-budak ni dia tak nak rasa macam dia seorang saja yang tak tahu apa kawan-kawan tengah cerita,” katanya.

Tekanan daripada rakan sebaya seperti itu menjadikan keputusan ibu bapa semakin sukar. Telefon yang pada asalnya diberikan untuk tujuan komunikasi dan keperluan harian akhirnya turut menjadi pintu kepada permintaan untuk memiliki media sosial sendiri.
Perunding Keselamatan dan Pertahanan Diri dari Akademi KickStart, Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir tidak melihat pemberian telefon atau akses Internet kepada anak sebagai sesuatu yang perlu dihalang.
Namun, beliau berpandangan ibu bapa perlu membezakan antara memberikan telefon dengan memberikan kebebasan untuk mempunyai media sosial.
“Saya selalu tekankan kepada ibu bapa hari ini, untuk anak-anak ada media sosial itu memang tidak sesuai sangatlah,” katanya.
Menurutnya, kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi, sedangkan media sosial memberi mereka akses kepada pelbagai bentuk kandungan termasuk perkara yang tidak sesuai dengan usia mereka.
Keadaan itu bermakna ibu bapa perlu bersedia dengan tanggungjawab untuk membimbing dan memantau sebelum memberikan gajet dan akses Internet.
“Tidak dapat tidak, mak ayah kena bersedia untuk membuat pemantauan ketat, ini sangat penting,” katanya.
Pemantauan juga semakin mencabar apabila anak-anak sendiri semakin mahir menggunakan teknologi.
Nor Adriana mengakui perkara itu berdasarkan pengalamannya sendiri apabila mendapati anak-anak tahu menggunakan beberapa fungsi untuk menyembunyikan aplikasi atau kandungan tertentu.
“Ini memang masalah, walaupun saya ada buat spot check, mereka ini pandai. Mereka boleh buat hidden folder, sorokkan apps atau fail-fail rahsia. Apa yang saya boleh buat, sentiasa menasihati,” katanya.
Aplikasi kawalan ibu bapa boleh membantu, tetapi menurut Saiful Hamiruzzaman, ia tidak boleh dianggap mampu menghapuskan semua risiko.
Teknologi dan aplikasi sentiasa berubah menyebabkan ibu bapa juga perlu mengikuti perkembangannya serta mengetahui aplikasi baharu yang mungkin digunakan anak.
Sebab itu, katanya, ibu bapa tidak semestinya perlu menjadi pakar teknologi tetapi perlu mempunyai pengetahuan sekurang-kurangnya setapak di hadapan anak.
“Kalau anak kita ilmunya sampai enam, kita kena sampai tujuh dan mungkin lapan. Kita kena tahu, mak ayah kena ambil berat. Sekurang-kurangnya fungsi asas sesuatu media sosial itu,” katanya.
Keperluan menetapkan batas terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak turut menjadi perhatian menerusi inisiatif Tunggu 16 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang menetapkan individu di bawah usia 16 tahun tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun media sosial.
Tunggu 16 bukan bermaksud kanak-kanak tidak boleh menggunakan Internet. Mereka masih boleh menggunakannya untuk pembelajaran, mendapatkan maklumat dan kegunaan lain yang bersesuaian tanpa perlu memiliki akaun media sosial sendiri.
Usaha melindungi kanak-kanak dalam talian turut diperkukuhkan menerusi Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC) yang memberi perhatian antaranya kepada pengesahan umur, perlindungan berdasarkan umur, reka bentuk selamat untuk kanak-kanak dan kawalan ibu bapa.
Mulai 1 Jun 2026, platform media sosial yang tertakluk kepada CPC perlu memastikan hanya pengguna berusia 16 tahun dan ke atas dibenarkan mendaftar akaun.
Namun bagi Saiful Hamiruzzaman, undang-undang, penguatkuasaan dan teknologi keselamatan tidak boleh mengambil alih tanggungjawab ibu bapa sepenuhnya.
“Tetapi kita sebagai ibu bapa kena ambil langkah proaktif. Kita kena buat benda yang mungkin lebih advance,” katanya.
Telefon pertama mungkin diberikan kerana anak memerlukannya untuk berhubung dengan keluarga, melakukan tugasan sekolah atau ketika mempunyai aktiviti di luar rumah. Tetapi apabila telefon itu berada dalam genggaman mereka, media sosial juga hanya beberapa sentuhan skrin sahaja.
Atas sebab itu, memberikan telefon dan membenarkan anak memiliki akaun media sosial tidak semestinya perlu berlaku pada masa yang sama. Telefon boleh menjadi satu keperluan, tetapi untuk media sosial, adalah lebih baik mereka Tunggu 16.