Pelakon Zila Baharin berkata dia tidak sangka mempunyai kelab peminat selepas lebih 30 tahun bergelar anak seni.
Memetik HibGlam, dia terkejut mempunyai peminat selepas menyertai Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES26) dan kelab peminat itu kini sudah mempunyai 300 orang.
BACA: Zila Bakarin Kongsi Detik Hijrah, Kepala Seperti Disiram Air Sejuk Lepas Pakai Selendang
“Memang terkejutlah sebab ada kelab peminat yang berpunca apabila seorang individu menyuarakan hasrat untuk menubuhkannya. Ketika ini, sudah disertai hampir 300 orang.
“Sepanjang tempoh saya berlakon dan jadi artis, saya tak ada langsung kelab peminat. Terkejut, umur 51 tahun dan sudah bau-bau tanah tetapi baru ada kelab peminat sendiri.
“Sebab itu saya cakap, umur pun tinggal berapa takuk lagi dan sudah bau tanah tetapi ada kelab peminat, bukankah itu kelakar?” katanya.
Sementara itu, Zila berkata nama kelab peminatnya yang diberi nama Godzilla diinspirasikan daripada watak terkenal dari Jepun serta mengakui situasi tersebut kelakar kerana kini mempunyai kelab peminat.
“Saya peminat Godzilla. Kemudian, tidak lama selepas itu, ada individu dalam Threads mencadangkan nama tersebut untuk kelab peminat. Namun, selepas banyak kali berbincang, kami ubah menjadi Gozzila.
“Kekok dan kelakar. Sebelum ini, orang hanya tegur ‘Hai, Kak Zila’ atau tidak kenal nama pun bila jumpa di luar, tetapi sekarang tiba-tiba ada kelab peminat. Memang kelakar,” katanya.
Sumber: HibGlam