Penyanyi Syasya Rizal meluahkan rasa kesal usahanya dalam menutup aurat seolah diperlekehkan netizen berikutan konsep tarian dalam video muzik video lagu terbarunya, Different.
Menerusi perkongsian di Threads, Syasya berkata mungkin orang melihat usahanya kecil namun ianya keputusan besar untuknya.

Menurut Syasya lagi, dia turut meminta orang ramai mendoakan yang baik-baik meskipun ada yang meninggalkan komen negatif mengatakan dia akan membuka tudung tidak lama lagi.
“Mungkin ia nampak kecil bagi awak tapi ia satu langkah yang besar buat saya. Ia mengambil masa berbulan-bulan dengan usaha, doa dan keyakinan untuk saya akhirnya mula berhijab.
“Jadi tolong jangan perlekehkan perjalanan seseorang dengan komen seperti ‘tak lama lagi cabutlah tudung tu’. Sebaliknya doakan yang baik-baik saja,” katanya.
Sementara itu, Syasya berkata dia akan terus berusaha menjadi individu lebih baik serta mengajak untuk menonton muzik video terbarunya itu.
“Pada akhirnya saya cuma cuba untuk menjadi lebih baik berbanding diri saya yang semalam dan itu sudah cukup buat saya,” katanya.