Penyanyi rap Caprice memberitahu pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM220,000 serta memohon maaf kepada pendakwah bebas, Ebit Lew.

Menerusi perkongsian di media sosial miliknya, Caprice berkata dia sudah memaklumkan kepada peguamnya untuk merayu keputusan terbabit ke Mahkamah Tinggi.

BACA: Caprice Diperintah Mohon Maaf, Bayar Ebit Lew RM220,000 

“Apa khabar semua? Saya ada berita buruk. Berita yang benar-benar buruk. Kami kalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, 2-0. Jadi, saya telah mengarahkan peguam saya untuk merayu keputusan hari ini.

“Kami tidak bersetuju dengan keputusan itu. Moga-moga, insya-Allah, dekat Mahkamah Tinggi kita ada peluang yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, meskipun agak kurang berpuas hati dengan keputusan semalam namun dia menghormati serta akur dengan keputusan mahkamah.

“Ada masa kita kalah, ada masa kita menang. Kami akan merayu. Moga-moga kebenaran akan menang pada akhirnya. Terima kasih atas semua doa dan sokongan anda. Kami akan merayu dan saya akan berjumpa anda di Mahkamah Tinggi,” katanya.

×