Komposer terkenal, Datuk M Nasir berkata wajah tampan dan mutu lakonan dimiliki Aliff Aziz antara sebab pelakon itu dipilih memegang watak Sultan Mansur Shah dalam pementasan teater muzikal Mansur & Liu.
Memetik BH Online, M. Nasir berkata pelakon itu memenuhi kriteria yang dicari dalam sesi uji bakat serta menyifatkan Aliff pelakon kedua paling tampan di Malaysia.
BACA: Aliff Aziz Syukur Masih Terima Tawaran Berlakon
“Semua yang dipilih kami nilai menerusi uji bakat. Kalau hendak tanya kenapa pelakon ini dipilih, semuanya ada sebab tersendiri.
“Kalau tengok daripada segi persembahan, Aliff dan Melinda sangat sesuai membawakan watak masing-masing. Satu lagi saya pilih sebab dia pelakon kedua paling tampan di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, M. Nasir berkata dia sudah lama memasang impian untuk pentaskan kisah Mansur & Liu lebih enam tahun sebelum ianya berjaya direalisasikan.
“Dulu saya pernah terbabit membaca buku audio. Ketika itu saya perlu membaca keseluruhan Sulalatus Salatin yang mengisahkan Hikayat Melayu Lama karya Tun Sri Lanang.
“Daripada situ, saya mula tertarik dengan kandungan buku itu dan mengetahui banyak perkara mengenai hikayat Melayu lama. Ketika membacanya juga, saya menemui kisah Mansur dan Liu. Kisah itulah yang menarik minat saya untuk menghasilkan karya ini,” katanya.
Teater Muzikal Mansur & Liu menampilkan Aliff dan Melinda Dadew serta turut dibarisi Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.
Sumber: BH Online