Pengguna media sosial, khususnya golongan ibu bapa, meluahkan rasa syukur dan penghargaan terhadap pelaksanaan Program Nutrisi Selangor (NutriSel) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor bagi menyediakan makanan berkhasiat kepada pelajar sekolah.
Rata-rata mereka menyifatkan inisiatif itu bukan sahaja membantu mengurangkan beban perbelanjaan keluarga, malah memastikan anak-anak mendapat makanan yang lebih seimbang ketika berada di sekolah.
Program NutriSel menyasarkan seramai 106,000 pelajar daripada isi rumah B40 berpendapatan bawah RM2,000 di 962 sekolah seluruh Selangor.
Menerusi peruntukan RM14.4 juta, makanan berkhasiat akan disediakan melalui kantin sekolah dua kali seminggu sepanjang tempoh pelaksanaan bermula 3 Ogos hingga 3 Disember 2026.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri memperkenalkan NutriSel bagi membantu meringankan beban kos persekolahan yang ditanggung ibu bapa, selain memastikan pelajar mendapat makanan berkhasiat.
Menurut beliau, kos persekolahan yang merangkumi tambang, pakaian sekolah dan keperluan pembelajaran memberi implikasi kewangan yang besar kepada keluarga. Justeru, NutriSel bukan sekadar pemberian makanan, sebaliknya merupakan pelaburan untuk masa depan anak-anak Selangor.
Di ruangan komen, seorang pengguna, Zakaria Awang menyifatkan program itu sebagai satu inisiatif yang amat dihargai oleh warga sekolah.
“Alhamdulillah. Saya sebagai YDP PIBG sangat berterima kasih di atas penyaluran untuk para pelajar ini,” katanya.
Noor Afidah pula memaklumkan anak-anaknya turut tersenarai sebagai penerima manfaat program berkenaan.
“Syukur alhamdulillah. Anak-anak saya tersenarai dalam Program NutriSel dari Negeri Selangor. Terima kasih MBS. Kalau boleh diteruskan sampai bila-bila,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, Natrah Uwais berkata, program berkenaan berjaya membantu mengurangkan beban ibu bapa.
“Alhamdulillah terima kasih dah bantu kurangkan beban ibu bapa. Alhamdulillah anak dapat,” katanya.
Hamidun Othman turut memuji usaha kerajaan negeri dengan menyifatkan hasil kekayaan negeri dikembalikan kepada rakyat.
“Alhamdulillah hidup di negeri kaya, rezeki dikembalikan kepada rakyat. Terbaik,” katanya.

Ramsya Akram pula berpandangan penyediaan sarapan pagi merupakan langkah yang tepat kerana menurutnya masih ramai murid tidak sempat bersarapan akibat kekangan masa ibu bapa.
“Saya setuju juga andainya disediakan sarapan pagi kerana banyak anak-anak yang tidak sempat sarapan kerana ibu bapa kekangan masa, mengelak kesesakan teruk,” katanya.
Sementara itu, Emma Masri berharap program berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penambahbaikan dari segi kualiti serta pilihan makanan.
“Tq MB semoga program ini kekal lama berterusan dan ada peningkatan kualiti penyediaan dan pilihan makanan. Terbaik,” katanya.
Rohana Ramli pula berkata beliau tetap menyokong usaha kerajaan negeri walaupun sudah tidak mempunyai anak yang bersekolah.
“Alhamdulillah terima kasih walaupun dah tiada anak yang bersekolah tapi sokong apa yang terbaik buat anak-anak Selangor,” katanya.
Turut meninggalkan komen, Dilla Mohd Rosli yang memuji pelbagai inisiatif kerajaan negeri untuk rakyat.
“Bagus program-program yang dibuat untuk rakyat Selangor. Tahniah YB!” katanya.
Beberapa pengguna turut mengaitkan kejayaan program itu dengan usaha serta kecekapan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.
Elvi Iriany Helmy menyifatkan kerajaan negeri sebagai antara yang terbaik apabila menulis, “Kerajaan negeri Selangor memang terbaik. Selangor sejahtera dan maju jaya.”
Natrah Uwais turut menghargai pelbagai bantuan yang disalurkan kepada rakyat dengan menulis, “Terima kasih MB Selangor, macam-macam peruntukan ada untuk rakyat Selangor.”
Ku Mohd Ikhwan pula berpendapat anak-anak perantau yang bersekolah di Selangor turut menikmati manfaat daripada inisiatif tersebut.
“Untung anak-anak kepada perantau dapat menikmati inisiatif sebegini hasil usaha kerajaan negeri. Kalau sekolah dekat sekolah mak pak diorang kat kampung, mak pak diorang entah dapat ke tak benefit-benefit macam ni,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Winfrey pula mempertahankan program itu daripada kritikan dengan menulis, “Benda baik pun nak kena komen buruk-buruk ke? Tahu tak apa maksud perkataan bersyukur?”