Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan bekerjasama membangunkan infrastruktur komunikasi di lokasi yang memerlukan di sepanjang lebuh raya bagi meningkatkan liputan serta kualiti perkhidmatan telekomunikasi.
Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kerja Raya dalam kenyataan bersama berkata, usaha itu meliputi kawasan liputan lemah (blind spot) yang sering menyebabkan panggilan terputus (dropped call) menerusi penggunaan kawasan rizab lebuh raya atau Right of Way (ROW).
Melalui kerjasama itu, rakyat akan menikmati akses komunikasi yang lebih baik sepanjang perjalanan, termasuk komunikasi kecemasan, aplikasi navigasi, maklumat trafik masa nyata serta pelbagai perkhidmatan digital lain seperti menara telekomunikasi dan rangkaian gentian optik.
“Inisiatif ini sekali gus menyumbang kepada pengalaman perjalanan yang lebih selamat, lancar dan sentiasa berhubung.
“Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif ini, MCMC telah mengeluarkan pelawaan pada 15 Mei 2026 bagi menambah baik liputan internet melalui pembinaan menara komunikasi di 10 lebuh raya seliaan LLM yang dikenal pasti mempunyai isu liputan lemah.
“Antaranya Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) serta kawasan geografi yang mencabar seperti Terowong Menora dan Gua Tempurung di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS),” menurut kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan bersempena pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MCMC yang diwakili Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan LLM yang diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad.

Majlis pertukaran MoU itu disaksikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kerjasama rentas kementerian dan agensi bagi mempercepat transformasi digital negara.
Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; serta Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim.
Tambah kenyataan bersama itu, MoU berkenaan dimeterai bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan infrastruktur komunikasi di sepanjang rangkaian lebuh raya negara, selaras dengan usaha memastikan pembangunan infrastruktur digital bergerak seiring dengan pembangunan infrastruktur fizikal demi manfaat rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara.
Jelasnya, pendekatan menyeluruh kerajaan (whole-of-government) menerusi inisiatif ini membolehkan pelaksanaan yang lebih cekap, bersepadu dan berimpak tinggi.
“Lebuh raya pada hari ini bukan lagi sekadar laluan bagi pengangkutan, malah berperanan sebagai koridor ekonomi dan digital yang menyokong pergerakan rakyat, perdagangan, logistik, pelancongan serta pelbagai perkhidmatan digital yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.
“MoU ini turut memperkukuh asas infrastruktur digital negara bagi menyokong pelaksanaan teknologi mobiliti masa hadapan seperti sistem kutipan tol secara Multi-Lane Fast Flow (MLFF), sistem pengangkutan pintar (Intelligent Transport Systems) serta aplikasi Internet Kebendaan (Internet of Things – IoT) yang memerlukan ketersambungan rangkaian yang stabil, berdaya tahan dan boleh dipercayai,” menurut kenyataan bersama itu.
KREDIT GAMBAR: KEMENTERIAN KERJA RAYA