Christy Ng Menang Saman Fitnah RM180,000, Dana Ganti Rugi Akan Disalur Ke Badan Kebajikan

Usahawan dan pempengaruh media sosial, Christy Ng berjaya memperoleh ganti rugi RM180,000 menerusi saman fitnah yang difailkan terhadap satu akaun Threads dikenali sebagai ‘archnionverse’.

Menerusi satu perkongsian di Instagram, Christy berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perintah individu bernama Vikneshvra untuk membayar ganti rugi berkenaan susulan hantaran fitnah.

BACA: Christy Ng Nak Puasa Lagi, Sediakan Makanan Sahur & Berbuka Untuk Pekerja

“Masih ingatkah kes tuduhan melulu oleh @archnionverse? Aka Vikneshvra Rau A/L Jananegah. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan Vikneshvra mengganti rugi sebanyak RM180,000 kepada kami susulan hantaran berunsur fitnah yang dibuat olehnya.

“Kami sentiasa mengalu-alukan maklum balas yang jujur dan membina. Namun, kami akan mengambil tindakan terhadap dakwaan palsu yang memudaratkan reputasi kami,” tulisnya.

Sementara itu, Christy berkata jumlah ganti rugi yang diterima akan disalurkan kepada badan kebajikan serta menitipkan pesanan kepada individu itu agar berhati-hati dalam membuat kenyataan bimbang ianya membawa padah.

“Dana ganti rugi akan disalurkan kepada badan kebajikan sekiranya berjaya dilunaskan olehnya, ini susulan pihak disana masih cuba menidakkan hukuman ini.

“Kepada Vikneshvra/Archnionverse, semoga lebih berhati hati apabila berkata. Kerana mulut kita boleh binasa,” katanya

×