Thailand memberi jaminan akan terus bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam usaha mencapai keamanan yang berkekalan, sekali gus mengukuhkan komitmen kedua-dua negara terhadap kestabilan dan keselamatan serantau.
Jaminan itu disampaikan Menteri Pertahanan Thailand, Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen, dalam pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pangkalan Udara Subang, hari ini.
“Beliau turut memberi jaminan bahawa Thailand kekal komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam usaha mencapai keamanan yang berkekalan demi kepentingan bersama kedua-dua negara,” kata Mohamed Khaled dalam satu kenyataan.
Yang hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud; dan Ketua Pengarah Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), Leftenan Jeneral Datuk Fazal Abdul Rahman.
Turut hadir ialah Duta Besar Thailand ke Malaysia, Lada Phumas; serta Timbalan Ketua Staf Bersama Angkatan Tentera Diraja Thailand, Jeneral Nuttapong Praokaev.
Mohamed Khaled berkata, pertemuan itu turut membincangkan pelbagai isu pertahanan serta kepentingan strategik bersama antara Malaysia dan Thailand.
Menurut beliau, pertemuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan pertahanan serta kerjasama strategik yang telah sekian lama terjalin.
“Malaysia dan Thailand turut menegaskan komitmen bersama untuk terus mempertingkatkan kerjasama pertahanan demi memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau,” katanya.
Beliau berkata, dalam pertemuan itu, Menteri Pertahanan Thailand turut berkongsi perkembangan semasa mengenai situasi di Selatan Thailand, sambil menegaskan bahawa Malaysia menyambut baik komitmen yang dizahirkan Thailand dan akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.
“Saya yakin hubungan erat antara Malaysia dan Thailand akan terus menjadi asas penting dalam mendepani cabaran strategik yang semakin kompleks, sekali gus menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini,” katanya.