Malaysia bakal kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 (F1) selepas lebih sedekad, dengan penganjuran kali ini tidak melibatkan sebarang bayaran yuran pendaftaran kepada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, penganjuran Formula 1 Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober depan berjaya direalisasikan tanpa kerajaan perlu menanggung kos pendaftaran seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
“Alhamdulillah (penganjuran) ini setelah belasan tahun. Dulu kosnya ratusan juta masa kita anjurkan tahun 2017.
“Hari ini, kita anjur tanpa membayar kos pendaftaran kepada syarikat dan percuma,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garisson, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan hanya perlu menyediakan peruntukan bagi kerja naik taraf kecil di SIC bagi memastikan litar itu memenuhi spesifikasi perlumbaan berprestij berkenaan.
“Kalau ada sedikit perbelanjaan nak baiki trek. Trek yang sekarang digunakan untuk kenderaan, motosikal dan lain-lain itu (perlu) diperbaiki sedikit. Saya jangkakan kira-kira RM10 hingga 16 juta.
“Orang lain anjur, perbelanjaannya ratusan juta atau minimum RM1 bilion ringgit.
“Kita diminta belanja RM16 juta… menjadi tumpuan semua pelumba terkenal dunia, kenderaan yang tercanggih di dunia dan ribuan jurutera yang akan terbang ke Sepang, Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kos penyelenggaraan itu jauh lebih rendah berbanding perbelanjaan yang lazimnya ditanggung negara lain untuk menganjurkan perlumbaan F1.
Sementara itu, Liberty Media dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena GP Hungary memaklumkan perlumbaan berkenaan secara rasmi akan dikenali sebagai GP Bahrain Gulf Air di Malaysia.
Anwar berkata, pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah bukan dibuat secara kebetulan, sebaliknya selepas melalui penilaian terhadap banyak negara yang berminat menganjurkan perlumbaan berprestij dunia itu.
“Ada puluhan, kalau tidak lebih, negara-negara yang diteliti oleh mereka. Pertama harus aman. Kedua, urusannya baik dan cekap. Ketiga, infrastrukturnya lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, kelebihan dari segi kestabilan, kecekapan pentadbiran serta kemudahan infrastruktur menjadi faktor utama yang meyakinkan pihak penganjur memilih Malaysia sebagai destinasi perlumbaan F1 bagi musim 2026.
KREDIT GAMBAR UTAMA: PEJABAT PERDANA MENTERI (PMO)