Tak Ramai Tahu, Harimau Malaya Kita Kini Kurang Daripada 150 Ekor!

Jujurnya, bila sebut Harimau Malaya, ramai antara kita terus terbayang Jata Negara, logo pasukan bola sepak atau mungkin sekadar haiwan yang pernah dilihat di zoo.

Tapi tahukah korang, ‘main character’ hutan Malaysia ini sebenarnya sedang bertarung untuk terus wujud?

Sempena Sambutan Hari Harimau Sedunia 2026 yang diraikan setiap 29 Julai, Malaysia sekali lagi memperkukuhkan komitmennya dalam memastikan Harimau Malaya terus kekal menjadi sebahagian daripada warisan negara untuk generasi akan datang.

Bertempat di Safari Wonderland, A’Famosa Resort, sambutan yang menghimpunkan pelajar, golongan belia, badan korporat, NGO dan masyarakat setempat itu menjadi simbol sokongan padu terhadap usaha pemuliharaan spesies yang semakin terancam ini.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, Hari Harimau Sedunia bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat global, malah menjadi platform penting untuk mengajak semua pihak memainkan peranan dalam usaha konservasi Harimau Malaya.

Harimau Malaya hanya terdapat di Semenanjung Malaysia dan merupakan simbol kebanggaan negara. Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan spesies ini terus dilindungi dan dipulihara secara mampan,” katanya.

Realitinya, berdasarkan Survei Harimau Kebangsaan Pertama yang dijalankan dari tahun 2016 hingga 2020, jumlah Harimau Malaya di negara ini dianggarkan kurang daripada 150 ekor.

Angka tersebut menjadi peringatan bahawa Malaysia masih berada dalam fasa kritikal untuk menyelamatkan spesies berkenaan daripada pupus selama-lamanya.

Dalam usaha memastikan Raja Rimba ini terus bertahan, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan termasuk Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3), Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), Program Pembiakan Harimau Malaya Dalam Kurungan (MyBIT) dan MyTAGS yang membantu mengenal pasti serta memantau spesies ini dengan lebih efektif.

Apa yang lebih penting, usaha menyelamatkan Harimau Malaya bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata. Ia memerlukan sokongan semua pihak daripada pembuat dasar, NGO, sektor swasta sehinggalah masyarakat umum.

Sebab pada akhirnya, ini bukan sekadar tentang menyelamatkan seekor harimau.

Ini tentang memastikan generasi akan datang masih dapat berkata, “Harimau Malaya? Oh, itu khazanah negara kita,” dan bukannya, “Harimau Malaya? Saya pernah baca pasal haiwan tu dalam sejarah.”

×