Keputusan kerajaan tidak mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) sejak tiga tahun lalu bukan dibuat tanpa sebab, sebaliknya bagi mengelakkan institusi itu berdepan krisis keyakinan yang boleh menjejaskan kelangsungan operasinya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan berhubung dakwaan penyelewengan pengurusan terdahulu yang mengakibatkan kerugian melebihi RM10 bilion jika didedahkan ketika itu berisiko mencetuskan panik dalam kalangan pendeposit.
Menurutnya, keadaan itu boleh menyebabkan orang ramai mengeluarkan simpanan masing-masing secara besar-besaran sehingga menjejaskan kedudukan kewangan TH.
“Bila ada yang tanya kenapa tiga tahun lalu tidak diumumkan, saya jelaskan kalau ketika itu laporan dikeluarkan, rakyat akan hilang keyakinan dan mengeluarkan wang mereka. Akhirnya Tabung Haji boleh gulung tikar.
“Selepas tiga tahun dengan pengurusan baharu yang cemerlang, Tabung Haji kini kembali bertapak kukuh,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Port Dickson, hari ini.
Anwar berkata, tempoh tiga tahun di bawah pengurusan baharu yang diterajui Tan Sri Abdul Rashid Hussain telah berjaya mengembalikan kedudukan TH ke landasan yang lebih stabil, sekali gus membolehkan laporan RCI itu didedahkan kepada umum.
Semalam, beliau memaklumkan laporan RCI berkenaan dijangka diumumkan selewat-lewatnya Rabu depan selepas melalui penelitian dan pertimbangan Jemaah Menteri.
Mengulas kandungan laporan itu, Anwar menegaskan pendedahan tersebut bukan bertujuan menyerang mana-mana pihak dari sudut politik, sebaliknya menyentuh soal kedaulatan undang-undang, integriti pentadbiran dan tadbir urus negara.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan, khususnya yang melibatkan institusi yang menguruskan simpanan umat Islam.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut mendedahkan Felda masih menanggung beban hutang yang berpunca daripada salah urus pentadbiran terdahulu.
Katanya, kerajaan kini terpaksa memperuntukkan kira-kira RM980 juta setiap tahun bagi melangsaikan hutang lama itu supaya kebajikan peneroka tidak terjejas.
“Saya tidak tergamak mengambil wang Felda atau peneroka kerana itu bukan kesilapan mereka, tetapi kesilapan pengurusan atasan. Sebab itu kerajaan menggunakan dana negara untuk melunaskan hutang tersebut,” katanya.