Penyanyi Wany Hasrita memilih memakai sarung tangan ketika menghadiri acara sebagai usaha untuk menjaga batas pergaulan dengan lelaki bukan mahram.
Memetik mStar Online, Wany berkata inisiatifnya itu dalam masa sama menghormati budaya masyarakat luar yang menganggap bersalam adalah sebagai tanda hormat.
BACA:Wany Hasrita Reda Jika Rumah Tangga Berdepan Ujian Curang
Wany yang dilantik duta rasmi jenama mi segera Korea, Nongshim SHIN Ramyun berkata ada masanya sukar untuk menolak pelawaan berjabat tangan tambahan pula tidak semua memahami batas pergaulan dalam Islam.
“Sejujurnya saya faham ada keadaan yang agak sukar untuk dielakkan terutama apabila mereka menghulurkan tangan sebagai tanda hormat.
“Contohnya hari ini saya terpaksa beritahu pihak atasan dari Korea yang saya sedang berwuduk. Alhamdulillah mereka sangat memahami selepas saya jelaskan sebabnya.
“Mereka sangat menghormati penjelasan saya. Bagi mereka, bersamalan memang budaya biasa, tapi kita ada cara sendiri untuk jaga batas,” katanya.
Sementara itu, Wany berkata tindakannya itu juga adalah satu ikhtiar jika berdepan situasi sukar dielakkan seandainya ada wakil dari Korea yang mahu bersalam.
“Kalau boleh memang kita elakkan. Semalam pun ada juga yang mahu bersalam, mujur saya pakai sarung tangan, jadi bolehlah bersalam.
“Kalau boleh kurangnya, kita kurangkan. Itu saja ikhtiar saya. Sekali lagi saya tegaskan, ini pilihan masing-masing. Saya tak menghakimi atau mengecam sesiapa kerana setiap orang ada pegangan dan cara sendiri,” katanya.
Sumber: mStar Online