Meskipun rumah tangga yang dibina bertemu titik noktah, namun penyanyi Zizi Kirana berkata dia tidak menyesal berkahwin dengan pelakon Yusuf Bahrin.

Menerusi satu podcast, Zizi berkata dia melihat ianya adalah ujian untuk melepaskan apa yang kita sayang dalam masa sama mengajar bahawa semua yang kita miliki adalah pinjaman semata-mata.

BACA: Zizi Kirana Kekal Hubungan Baik Dengan Ibu Bapa Mentua

“Saya tidak menyesali berkahwin kerana saya rasa itu adalah ujian yang Allah beri kepada saya untuk melepaskan sesuatu yang kita sayang

“Ia juga sebenarnya mengajar saya bahawa semua benda di dunia ini bukanlah milik kita. Ketika itu saya berfikir, benda yang paling kau sayang adalah perkara yang Allah akan uji sebenarnya. Jadi, bila Allah uji, saya kena belajar untuk melepaskan.

“Itu sahaja dalam fikiran saya ketika itu. Ini semua bukan saya punya. Semua Allah punya, tiada yang kekal,” katanya.

Sementara itu, Zizi berkata dia mengambil masa setahun lebih untuk selamatkan perkahwinan sebelum kedua-duanya mengambil keputusan membawa haluan masing-masing.

“Sebenarnya setahun lebih juga saya ambil masa dan macam-macam rujukan saya cari. Saya jumpa orang berilmu dan berpengalaman tentang hal ini.  Melalui perbincangan terakhir juga, pihak di sana pun bersetuju dan ini yang terbaik.

“Kesusahan untuk saya membuat keputusan daripada setahun setengah yang lepas tu, sebenarnya banyak dah Allah bagi jawapan. Cuma saya sendiri masa itu yang belum membuka hati menerima keadaan itu,” katanya.

Terdahulu, Zizi dan Yusuf berkahwin pada 19 September 2021 namun sah bercerai pada 2 April lalu.

×