Pelakon Fathia Latiff menitipkan kata-kata semangat buat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq susulan penangguhan keputusan rayuan akhir kes membabitkannya.
Menerusi satu perkongsian di Threads, Fathia berharap Saddiq akan terus sabar dengan dugaan dilaluinya serta yakin dengan proses keadilan.
BACA: “Saya Akan Sentiasa Berada Di Belakang Syed Saddiq”

“Saya benar-benar berharap Syed Saddiq terus bersabar dan kekal kuat dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini.
“Kelewatan dan perkara yang tidak dijangka sememangnya boleh mendatangkan rasa kecewa, namun saya berharap beliau terus yakin dengan proses keadilan serta diberikan kekuatan untuk terus bertahan sehingga segala urusan ini diselesaikan,” tulisnya.
Selasa lalu, Saddiq sepatutnya akan mengetahui nasibnya sama ada kekal bebas atau diarahkan menjalani hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).