Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan 15 lagi inisiatif baharu bernilai RM209.26 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 bagi membantu negeri itu berdepan cabaran ekonomi susulan gangguan rantaian bekalan global akibat konflik di Asia Barat.
Pengumuman terbaharu itu menjadikan keseluruhan peruntukan yang disediakan di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 meningkat kepada RM355.06 juta.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebelum ini kerajaan negeri telah memperuntukkan RM145.8 juta menerusi Fasa 1 yang merangkumi tujuh inisiatif dan sedang dilaksanakan.
“Demikianlah, di tengah gelora konflik perang Asia Barat yang mengakibatkan kejutan rantaian bekalan tenaga global, Kerajaan Negeri tampil bukan untuk menjadi Santa Claus, atau mereka yang ingin memberikan wang dengan sesuka hati.
“Tapi Kerajaan Negeri bertindak dengan data, maklumat serta pandangan pakar dan dimulakan dengan perbincangan ilmiah dengan pakar agar kita memperolehi maklumat dan data asas.
“Di saat krisis, kita memerlukan kerjasama dan komitmen daripada semua pihak, kolaborasi bukan hanya anggota Pentadbiran, wakil rakyat dan sebagainya. Tapi kita memerlukan rakyat secara keseluruhan,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.
Menurut Amirudin, sidang khas Dewan Negeri Selangor diadakan bagi membolehkan setiap cadangan dan langkah yang dirancang dibincangkan secara menyeluruh serta dinilai dengan teliti demi kepentingan rakyat dan negeri.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan kerajaan negeri dapat mengenal pasti tindakan paling berkesan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa selain bersedia menghadapi sebarang ketidaktentuan pada masa hadapan.
“Ia supaya kita mampu berdepan dengan krisis ini bersama-sama dan mampu menguraikan setiap permasalahan yang berlaku.
“Sudah pasti daripada sidang ‘focus group’ yang dilaksanakan pasukan petugas khas selama ini kita menerima banyak permohonan namun ada limitasi tertentu.
“Jadi sokongan hari ini bukan hanya memberikan sokongan wang tunai atau kurangkan kelelahan mereka menguruskan faktor kewangan tetapi menjamin sektor runcitan, pertanian dan rangkaiannya bagi pastikan ekonomi negeri terus berdaya saing dan mampu untuk menggerakkan ekonomi Malaysia ke arah lebih baik,” katanya.
Inisiatif yang baru diumumkan itu terdiri daripada Pengurangan Kadar Sewa Premis Pihak Berkuasa Tempatan, melibatkan peruntukan sebanyak RM4.5 juta, Projek Selangor Penyayang (RM14 juta), Selangor Advance (SA500) (RM100 juta), Pembiayaan Dana Pantas Usahawan (RM20 juta), Inisiatif Pemulihan Usahawan Selangor dan Transisi Kerjaya PLATS (RM4 juta).
Selain itu, Program Kerjaya Selangor (RM1.5 juta), Bantuan Agropreneur Selangor (RM6 juta), Moratorium Smart Sewa Selangor (RM2.22 juta), Moratorium Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri (RM2.54 juta), Pembiayaan Daya Tahan Usahawan Tani Selangor (RM7 juta), Biasiswa Selangor (RM17 juta), Teraju IKTISASS (RM20 juta), Mama Kerja (RM5 juta) dan Rebat Cukai Taksiran 100 peratus (RM5.5 juta).